Khamis, 9 March 2023 | 5:17pm
Maybank mengaktifkan semula program Bantuan Banjir - Foto AFP
Maybank mengaktifkan semula program Bantuan Banjir - Foto AFP

Maybank tawar bantuan berterusan pelanggan terjejas banjir

KUALA LUMPUR: Maybank mengumumkan akan terus menawarkan Bantuan Banjir kepada pelanggan individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan pelanggan bukan runcit lain yang terjejas akibat banjir susulan hujan lebat baru-baru ini.

Bantuan itu bertujuan meringankan beban kewangan pelanggan Maybank yang terjejas akibat banjir.

Bantuan Banjir itu direka bentuk untuk menangani cabaran yang dihadapi oleh mangsa banjir dan akan termasuk, antara lainnya, penangguhan pembayaran pembiayaan/pinjaman, pengurangan ansuran bulanan atau lanjutan tempoh pembayaran balik.

Selain itu, Maybank juga menawarkan pengecualian yuran dan caj untuk perkhidmatan terpilih seperti penggantian kad kredit dan debit serta buku cek yang hilang atau rosak semasa banjir.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Maybank, Datuk Khairussaleh Ramli, berkata misi utama kumpulan perbankan itu adalah untuk membantu pelanggan pulih daripada bencana banjir.

Beliau berkata, pengaktifan semula program Bantuan Banjir itu yang telah dilaksanakan selama beberapa tahun, bertujuan untuk mempercepatkan kehidupan pelanggan kembali kepada normal.

Katanya, Maybank menggalakkan pelanggan untuk memanfaatkan pelbagai kemudahan perbankan yang disediakan di platform dalam talian dan fizikalnya untuk menerima bantuan segera.

"Memandangkan kesan banjir semakin meluas, kami telah mengambil pendekatan holistik untuk menghulurkan bantuan kewangan kepada pelanggan kami termasuk Maybank Islamic untuk kewangan Islam dan Etiqa untuk keperluan insurans.

"Selain membantu pelanggan, kami juga menggerakkan bantuan kemanusiaan kepada komuniti terjejas di seluruh negara melalui sumbangan zakat dan Yayasan Maybank demi memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan," katanya dalam satu kenyataan.

Dengan kerjasama MERCY Malaysia, Maybank Islamic memperkasakan usaha menyokong mangsa banjir dengan menyumbang zakat bernilai RM200,000 untuk membantu golongan asnaf yang kurang berkemampuan.

Selain itu, Yayasan Maybank mengerahkan RM50,000 untuk membeli kit kebersihan untuk diagihkan kepada mangsa.

Pelanggan boleh memohon Bantuan Banjir melalui dua saluran mudah iaitu emel kepada [email protected] dengan memberikan nama/nama syarikat, nombor Kad Pengenalan/Pendaftaran Perniagaan, nombor telefon, jenis pinjaman/produk dan nombor kenderaan.

Pelanggan juga boleh mengunjungi atau hubungi mana-mana cawangan Maybank, Pusat PKS, Pusat Perbankan Perniagaan atau Pusat Kewangan Auto di seluruh negara.

Semua permohonan akan dinilai berdasarkan maklumat kes yang tertentu berdasarkan pengisytiharan oleh pelanggan yang terjejas.

Sementara itu, cabang insurans Kumpulan Maybank, Etiqa, telah menyediakan proses tuntutan yang cepat dan mudah untuk pemegang polisi insurans dan pemegang sijil takaful, tanpa keperluan borang atau dokumen sokongan.

Berita Harian X