Selasa, 7 March 2023 | 5:36pm
Gambar hiasan.
Gambar hiasan.

RHB tawar moratorium enam bulan kepada mangsa banjir

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group (RHB) menyediakan bantuan kewangan kepada pelanggan individu dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara yang terjejas akibat banjir baru-baru ini melalui Program Bantuan Banjirnya.

RHB dalam satu kenyataan berkata, di bawah program itu, pelanggan individu yang layak boleh memohon penangguhan bayaran ansuran sehingga enam bulan untuk gadai janji, pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB)/kemudahan pembiayaan berjangka-i, pinjaman peribadi/pembiayaan-i dan sewa beli/-I dari Mac 2023 hingga Ogos 2023.

Selain itu, RHB menawarkan pelepasan tiga bulan bagi caj pembayaran lewat dan yuran pengurusan faedah/benar ke atas kad kredit/-i yang terjejas dari Mac 2023 hingga Mei 2023, serta pelepasan yuran penggantian kad untuk semua ATM, kad debit/-i dan kad kredit/-i.

Pelanggan PKS yang layak, sebaliknya, boleh memohon penangguhan bayaran ansuran sehingga enam bulan untuk sewa beli/-i, pinjaman berjangka/pembiayaan-i, faedah/keuntungan overdraf/-i, pembayaran bil pelbagai barisan dagangan/-i dan kemudahan pembiayaan lain yang sedia ada.

RHB juga akan menyediakan kemudahan pembiayaan bantuan banjir untuk pelanggan PKS baharu dan sedia ada sehingga RM700,000 untuk tempoh tujuh tahun.

Selain Program Bantuan Banjir untuk pelanggan individu dan PKS, RHB Insurance juga menyediakan perkhidmatan tuntutan di bawah Pasukan Tindak Balas Bencana Alamnya yang membolehkan tuntutan kecil yang lebih cepat ke atas insurans kenderaan dan kebakaran sehingga RM10,000 untuk kerosakan akibat bencana alam.

"Kami amat bersimpati dengan mereka yang telah terjejas akibat banjir baru-baru ini di seluruh Malaysia.

"Kesejahteraan pelanggan kami tetap menjadi keutamaan kami, dan kami berharap bantuan kami untuk penangguhan bayaran balik sehingga enam bulan dan pelepasan caj yuran, akan membantu meringankan beban yang dialami mangsa banjir.

"Kami amat menggesa pelanggan kami yang terjejas akibat banjir untuk menghubungi kami bagi mendapatkan bantuan sesuai yang boleh meringankan beban kewangan mereka," kata Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad.

Berita Harian X