Khamis, 2 March 2023 | 2:09pm
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Imri Mokhtar -NSTP/Aziah Azmee
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Imri Mokhtar -NSTP/Aziah Azmee

TM gabung semua perniagaan di bawah TM Tech

KUALA LUMPUR: Telekom Malaysia Bhd (TM) mengumumkan penyusunan semula peringkat dalaman perniagaannya di Malaysia kepada entiti operasi tunggal dinamakan TM Technology Services Sdn Bhd (TM Tech), selepas menerima kelulusan pelbagai pihak, termasuk Mahkamah Tinggi Malaysia dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Berkuat kuasa 1 Mac 2023, TM akan menjadi syarikat pemegangan pelaburan untuk entiti operasi tunggal itu (TM Tech), bersama-sama anak-anak syarikat milik penuh lain merangkumi perniagaan antarabangsa, digital, pendidikan, sokongan dan anak-anak syarikat bukan milik penuh yang lain.

Secara keseluruhannya, kumpulan ini akan terus diterajui oleh Lembaga Pengarah TM sedia ada dan diuruskan oleh pasukan pengurusan kanan yang sama.

Penyusunan semula kepada TM Tech yang merangkumi antara lain Unifi, TM One dan TM Global menandakan fasa seterusnya transformasi TM yang akan mengukuhkan kepimpinan konvergens mudah alih-tetap (FMC), meningkatkan lagi kecekapan operasi dan memberikan pengalaman pelanggan yang lebih lancar.

Dari segi sumber, penyusunan semula ini menghimpunkan bakat-bakat dengan pelbagai kemahiran, menggalakkan ketangkasan dan kerjasama merentas fungsi menerusi proses-proses yang lebih selaras dan dipermudah.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Datuk Imri Mokhtar, berkata ketika permintaan pelanggan, persaingan yang kian sengit dan jangkaan daripada pihak berkepentingan membentuk industri hari ini, kini adalah masa yang sesuai untuk kumpulan menggabungkan perniagaan telekomunikasinya di Malaysia kepada sebuah entiti operasi tunggal yang akan membolehkan ia memberi perkhidmatan kepada pelbagai segmen pelanggan dengan lebih baik, lebih pantas, serta memacu kecekapan operasi.

"Kami telah memaklumkan kepada semua pelanggan berkenaan penyusunan semula peringkat dalaman ini menerusi e-mel dan surat digital. Kini, untuk semua transaksi pembayaran, nama penerima adalah 'TM Technology Services Sdn Bhd dan bukan lagi 'Telekom Malaysia Berhad'. Semua butiran pembayaran yang lain masih kekal, seperti akaun bank dan kod JomPAY," katanya dalam satu kenyataan.

Imri berkata, kejayaan TM untuk membentuk sebuah Digital Malaysia menerusi teknologi yang memperkasa komuniti, perniagaan dan Kerajaan sememangnya bergantung kepada warga TM kami.

"Dengan majoriti warga TM diselaraskan di bawah entiti operasi tunggal ini, fungsi tugas individu, kelayakan dan manfaat mereka masih kekal tanpa sebarang perubahan. Selain itu, semua kewajipan TM sedia ada di bawah perjanjian usaha sama, vendor dan perkhidmatan akan kekal termaktub seperti sedia ada.

"Kami yakin penyusunan semula ini akan memperkukuh peranan TM dalam memajukan ekonomi digital negara dan untuk memberi perkhidmatan kepada jumlah pelanggan kami yang semakin meningkat dengan lebih menyeluruh.

"Ini akan memperhebat kelebihan daya saing TM, justeru memantapkan peralihan kami kepada menjadi sebuah syarikat teknologi (TechCo) berteraskan insan," katanya.

Berita Harian X