Khamis, 2 March 2023 | 1:25pm
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli - NSTP/Genes Gulitah
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli - NSTP/Genes Gulitah

Pelaburan Amazon Web Services bantu struktur semula ekonomi Malaysia

KUALA LUMPUR: Pelaburan Amazon Web Services (AWS) di Malaysia adalah kritikal untuk membantu negara menstruktur semula dan mendigitalkan ekonomi.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, berkata Malaysia memerlukan data yang terperinci dan boleh dicapai dalam masa sebenar melalui ekosistem yang mendorong proses 'eksperimentasi dan pembelajaran'.

Katanya, prasyarat ekosistem ini adalah infrastruktur data yang murah, boleh skala, dan selamat.

"Platform pengkomputeran awan seperti AWS memenuhi ketiga-tiga ciri ini, maka kerajaan komited untuk menyokong penerapannya dengan pantas.

"Pelaburan ini juga penting untuk mewujudkan sektor awam dengan pendekatan 'cloud-first', yang berkecekapan menyampaikan perkhidmatan awam secara digital demi kesenangan rakyat, dan juga menggunakan data untuk meningkatkan mutu perkhidmatan awam secara berterusan," katanya dalam satu kenyataan.

AWS hari ini mengumumkan bakal membuka infrastruktur serantau baharu di Malaysia, dengan pelaburan bernilai RM25.5 bilion sehingga 2037.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, Malaysia berbangga untuk mengumumkan kerjasama awam swasta dengan AWS, yang telah membawa kepada Pelaburan Wilayah Data di Malaysia.

Katanya, pada Januari 2022, AWS telah menjadi penyedia perkhidmatan awan (CSP) antarabangsa pertama untuk memeterai Cloud Framework Agreement (CFA) dengan kerajaan Malaysia, dan akan terus meningkatkan kebolehan pegawai sektor awam dalam teknologi awan, selaras dengan strategi 'Cloud First' AWS.

"Malaysia menyambut baik pelaburan AWS untuk menubuhkan wilayah data di Malaysia sebagai salah satu pelaburannya yang terbesar setakat ini.

"Pelaburan ini akan memberi impak yang besar kepada inovasi dan transformasi digital di negara ini.

"Malaysia juga amat bangga bahawa AWS telah memilih Malaysia sebagai lokasi penting dalam pasaran wilayah data yang berkembang pesat di rantau ASEAN," katanya.

Tambahnya, Kementerian Ekonomi sedang memimpin transformasi digital Malaysia melalui inisiatif MyDigital, yang akan memacu inovasi dan penggunaan teknologi terkini di seluruh sektor ekonomi.

"Ekosistem yang sesuai akan meningkatkan daya tarikan Malaysia kepada pelaburan dalam sektor digital, maka menjadikan Malaysia pusat digital terulung di ASEAN.

"Salah satu fokus utama MyDigital adalah untuk hasilkan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi dalam sektor digital dan data, bagi memastikan Malaysia terus kompetitif serta dapat beralih ke masyarakat yang digital.

"Bagi mencapai hasrat ini, kerajaan akan memfokuskan usaha pada program yang akan membekalkan tenaga kerja Malaysia dengan kemahiran untuk menyahut cabaran ini, sejajar dengan aspirasi Malaysian Digital Economy Blueprint untuk menjadikan Malaysia negara berpendapatan tinggi yang dipacu oleh digitalisasi yang padu," katanya.

Berita Harian X