KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd mencatatkan keuntungan bersih RM2.7 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022, meningkat 3.4 peratus berbanding tahun sebelumnya.
Prestasi memberangsangkan itu berikutan pendapatan berasaskan dana bersih yang lebih tinggi, ketiadaan kerugian pengubahsuaian (ML) dan jangkaan kerugian kredit (ECL) yang lebih rendah.
Pendapatan berasaskan dana bersih meningkat 8.6 peratus kepada RM6.4 bilion didorong oleh pendapatan berasaskan dana kasar lebih tinggi, yang meningkat 18.3 peratus disokong oleh pertumbuhan pinjaman sebanyak 6.9 peratus.
Margin faedah bersih (NIM) bagi tahun kewangan dikaji ialah 2.24 peratus berbanding 2.20 peratus tahun sebelumnya.
Pada suku keempat berakhir 31 Disember 2022, keuntungan bersih kumpulan meningkat 22.3 peratus kepada RM772.1 juta berbanding RM631.2 juta suku sama tahun sebelumnya.
RHB Banking Group mengisytiharkan dividen interim kedua sebanyak 25 sen sesaham, yang mana bersama dividen interim pertamanya sebanyak 15 sen sesaham, jumlah dividen untuk tahun kewangan 2022 berjumlah 40 sen sesaham.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group,
Mohd Rashid Mohamad, berkata kumpulan perbankan itu telah menunjukkan daya tahan dan mencatatkan prestasi memberangsangkan untuk tahun kewangan 2022.
Beliau berkata, momentum pertumbuhan dan asas RHB Banking Group kekal kukuh seperti yang dicerminkan oleh kedudukan modal dan kecairannya yang utuh.
Katanya, tumpuan jangka terdekat kumpulan adalah untuk kekal dalam melaksanakan strategi tiga tahunnya yang bermula 2022 hingga 2024 dikenali 'Together We Progress 24' (TWP24) dan berusaha ke arah merealisasikan manfaat, menumpukan pada mencapai pertumbuhan berkualiti, memacu kecemerlangan perkhidmatan dan meningkatkan kecekapan.
"Namun begitu, kami tetap berwaspada dalam menguruskan aset berkualiti dan memastikan kami mengamalkan tahap tadbir urus tertinggi semasa menguruskan perniagaan serta operasi seharian.
"Kami kekal komited dalam menyediakan sokongan yang diperlukan untuk segmen pelanggan rentan," katanya dalam satu kenyataan.
Mohd Rashid berkata, kumpulan perbankan juga telah mempergiatkan usaha mempromosikan amalan lestari dalam kalangan pelanggan, pekerja dan pemegang taruh utama lain.
Beliau berkata, setakat Disember 2022, RHB Banking Group mencapai lebih RM14 bilion dalam perkhidmatan kewangan lestari, yang mana melepasi sasaran 2022 sebanyak lebih 60 peratus.
"Fokus utama kami untuk tahun kewangan 2023 adalah untuk memulakan program dalam memupuk dan menyokong pelanggan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) ke arah menyepadukan amalan lestari ke dalam perniagaan dan operasi mereka, dengan memainkan peranan sebagai penasihat dan juga menerusi tawaran produk dan penyelesaian lestari," katanya.