Isnin, 27 Februari 2023 | 1:51pm
Public Bank menjangkakan pertumbuhan ekonomi positif pada tahun ini -NSTP/Saifullizan Tamadi
Public Bank menjangkakan pertumbuhan ekonomi positif pada tahun ini -NSTP/Saifullizan Tamadi

Public Bank catat untung RM8 bilion buat kali pertama

KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai Kumpulan Public Bank untuk tahun kewangan 2022 meningkat sebanyak 19.9 peratus kepada RM8.83 bilion, melepasi paras RM8 bilion untuk pertama kali.

Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif Public Bank, Tan Sri Dr Tay Ah Lek, berkata keuntungan bersih milik pemegang saham pula meningkat sebanyak 8.2 peratus kepada RM6.12 bilion selepas mengambil kira kesan daripada pengenaan sekali saja Cukai Makmur.

Beliau berkata, kumpulan turut mengekalkan pulangan ekuiti bersih yang kukuh sebanyak 12.8 peratus dan nisbah kos kepada pendapatan yang cekap sebanyak 31.5 peratus.

Dari segi kualiti aset pula, katanya nisbah pinjaman pengurangan nilai kasar kekal rendah dan baik iaitu pada 0.4 peratus setakat akhir 2022.

"Pada 2022, kumpulan memperoleh keuntungan operasi sebelum pengurangan nilai pinjaman dan peruntukan lain sebanyak RM9.20 bilion, kenaikan 7.3 peratus berbanding 2021.

"Ini disumbangkan oleh pertumbuhan pendapatan faedah bersih sebanyak 10.2 peratus disebabkan oleh pertumbuhan pinjaman dan deposit yang baik serta margin faedah bersih yang lebih baik berikutan peningkatan Kadar Dasar Semalaman (OPR)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ah Lek berkata, melangkah ke hadapan, kumpulan menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia berada pada landasan yang positif tahun ini disokong oleh permintaan domestik yang kukuh.

Bagaimanapun, beliau berkata cabaran global yang diakibatkan oleh lonjakan tekanan inflasi, dasar kewangan yang lebih ketat, gangguan bekalan yang berterusan dan ketegangan geopolitik akan terus mengugat ekonomi.

Katanya, cabaran ekonomi yang berterusan ini akan memberi kesan limpahan kepada sektor perbankan.

"Sentimen pengguna dan perniagaan akan terus terjejas oleh tekanan inflasi yang tinggi dan pertumbuhan global yang perlahan.

"Namun begitu, tinjauan terhadap ekonomi Malaysia kekal positif, dan ini akan terus menyokong persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan perniagaan perbankan," katanya.

Ah Lek berkata, di sebalik usaha Public Bank dalam mengembangkan perniagaan perbankan runcit dan komersial, tumpuan juga akan diberikan kepada beberapa agenda lain yang penting.

Beliau berkata, ini adalah merangkumi transformasi digital, agenda kelestarian selain peningkatan kemahiran dan kemahiran semula kakitangan.

"Langkah kumpulan ini akan dapat memastikan pertumbuhan pendapatan yang mampan selain melindungi kepentingan pihak berkepentingan pada setiap masa," katanya.

Lembaga Pengarah Public Bank mengisytiharkan dividen interim ketiga sebanyak 5.0 sen sesaham yang akan dibayar pada 22 Mac 2023 berdasarkan tarikh kelayakan pada 14 Mac 2023.

Berserta dividen interim pertama dan kedua sebanyak 12.0 sen sesaham yang diisytiharkan sebelum ini, dividen setahun penuh bagi tahun 2022 berjumlah 17.0 sen.

Ini adalah jumlah pembayaran dividen sebanyak RM3.30 bilion atau 53.9 peratus daripada keuntungan bersih kumpulan bagi tahun 2022.

Berita Harian X