KUALA LUMPUR: Pengendali kedai rangkaian serbaneka KK Supermart & Superstore Sdn Bhd (KK Mart) menyasarkan untuk melabur sebanyak RM75 juta bagi membuka 150 cawangan tambahan menjelang akhir tahun ini.
Pengasas dan Pengerusi Eksekutif, Datuk Seri Dr KK Chai, berkata syarikat itu merancang untuk membuka kira-kira 12 cawangan sebulan dengan pelaburan RM500,000 setiap cawangan, menjadikan jumlah keseluruhan kepada 830 cawangan di seluruh negara pada 2023.
"Kami tidak mempunyai sebarang lokasi khusus untuk cawangan baharu kerana kami telah membuka (kedai) di kawasan perumahan, pusat komersial dan hab seperti Terminal Bersepadu Selatan serta hospital dan universiti. Hampir di mana-mana," katanya kepada pemberita selepas pelancaran inisiatif Payung Rahmah dan kempen 'Beli dan Menang RM1.1 Juta' di seluruh negara di KK Super Mart Terminal Bersepadu Selatan di sini, hari ini.
Ketika ditanya isu beberapa kedai 24 jam yang berhenti beroperasi sepanjang masa, beliau berkata ia disebabkan oleh isu buruh, yang perlu diuruskan dengan baik.
Mengenai harapan Belanjawan 2023, Chai menyatakan harapan bahawa Kerajaan Perpaduan akan prihatin kepada rantaian runcit serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mengenai isu seperti peningkatan kos operasi.
"Sebagai pengendali, kami menanggung kenaikan kos. Jika, sebagai contoh, terdapat peningkatan kos elektrik yang menyebabkan kos operasi yang lebih tinggi dan kosnya terlalu tinggi, kami tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga barangan," katanya.
Pada masa ini, rangkaian runcit KK Mart mempunyai 680 cawangan di seluruh negara dan juga sebahagian daripada inisiatif Payung Rahmah yang bertujuan mengurangkan kos sara hidup dengan menawarkan barangan sedia untuk dimakan dan makanan laut sejuk beku pada harga berpatutan.
-BERNAMA