KUALA LUMPUR: Keuntungan sebelum cukai (PBT) Maybank Indonesia susut 7.4 peratus kepada 2.04 trilion rupiah untuk tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 daripada 2.2 trilion rupiah setahun sebelumnya, terutama disebabkan oleh hasil pinjaman yang lebih rendah.
Kumpulan Maybank berkata, penurunan itu disebabkan oleh persaingan sengit dalam industri serta kejatuhan dalam pasaran global (GM), bankasurans dan pendapatan pengurusan kekayaan.
"Bagaimanapun, Maybank Indonesia terus menambah baik kos dananya dan menempah peruntukan yang lebih rendah sejajar dengan peningkatan kualiti pinjaman," katanya dalam satu kenyataan.
Margin faedah bersih bank berkembang sebanyak 36 mata asas kepada 5.1 peratus pada Disember 2022, disumbangkan oleh kos dana yang lebih rendah, baki akaun semasa dan simpanan (CASA) yang lebih tinggi dan pertumbuhan margin yang lebih tinggi pada perniagaan pinjaman kenderaan.
Maybank Indonesia mencatatkan penurunan dalam pendapatan berasaskan fi sebanyak 15.8 peratus, disumbangkan terutamanya oleh penurunan ketara dalam fi berkaitan GM yang jatuh 62.7 peratus tahun ke tahun, dipengaruhi oleh lonjakan kadar faedah global dan pasaran yang tidak menentu.
"Walau bagaimanapun, pendapatan perkhidmatan forex runcit daripada cawangan-cawangan bertambah baik di hampir semua wilayah di seluruh Indonesia," katanya.
Jumlah pinjaman bank meningkat 5.9 peratus kepada 107.82 trilion rupiah, didorong terutamanya oleh perbankan korporat dan pinjaman pengguna yang lebih tinggi.
Berikutan arah aliran menaik dalam kuasa beli pengguna, segmen pinjaman runcit perkhidmatan kewangan komuniti bank meningkat dengan ketara sebanyak 13.6 peratus kepada 38.99 trilion rupiah daripada 34.32 trilion rupiah diterajui oleh perniagaan roda dua dan empat yang berkembang 22.6 peratus tahun ke tahun.
Perniagaan kad kredit dan pinjaman peribadi berkembang sebanyak 14.7 peratus dan gadai janji sebanyak 4.6 peratus.
Nisbah Pinjaman Tidak Berbayar (NPL) disatukan bank bertambah baik kepada 3.5 peratus (kasar) dan 2.3 peratus (bersih) pada Disember 2022 daripada 3.7 peratus (kasar) dan 2.6 peratus (bersih) pada Disember 2021.
"Dari perspektif mudah tunai, CASA bank berjumlah 54.35 trilion rupiah, dengan sedikit pertumbuhan dalam akaun semasa bank sebanyak 0.2 peratus kepada 32.43 trilion rupiah dan akaun simpanan pada 21.91 trilion rupiah," katanya.
Bank juga berjaya mengurangkan deposit kos tinggi, yang mengakibatkan penurunan 15.3 peratus dalam deposit berjangka kepada 51.36 trilion rupiah daripada tahun sebelumnya.
"Nisbah pinjaman kepada deposit berada pada paras yang sihat sebanyak 86.9 peratus pada Disember 2022 daripada 76.3 peratus pada Disember 2021, dan nisbah perlindungan kecairan berada pada 168.5 peratus pada Disember 2022, melebihi nisbah pengawal selia, tahap minimum 100 peratus," katanya.
Jumlah aset unit perbankan syariah Maybank Indonesia meningkat 2.1 peratus kepada 40.04 trilion rupiah daripada 39.22 trilion rupiah, menyumbang kepada jumlah aset kendiri Bank sebanyak 26.9 peratus.
"Pembiayaan (Islam) meningkat 3.1 peratus kepada 26.43 trilion rupiah daripada 25.64 trilion rupiah dengan lebih tumpuan pertumbuhan pada SME dan pembiayaan runcit," kata kumpulan perbankan itu.
Bagi anak syarikat PT Maybank Finance, kumpulan itu mencatatkan pertumbuhan ketara dalam PBT, yang meningkat 15.4 peratus kepada 566 bilion rupiah di waktu peningkatan permintaan untuk pembiayaan empat roda.
Anak syarikat lain, PT Wahana Ottomitra Multiartha Tbk, mencatatkan lonjakan ketara sebanyak 82.3 peratus dalam PBT kepada 280 bilion rupiah daripada 154 bilion rupiah tahun lalu berikutan kuasa beli pengguna yang bertambah baik yang membawa kepada peningkatan permintaan untuk kenderaan dua roda dan pembiayaan lain.
-BERNAMA