KUALA LUMPUR: Berjaya Food Bhd akan terus mengukuhkan penguasaannya dalam sektor makanan dan minuman (F&B) terutamanya melalui perancangan membuka lebih banyak rangkaian Starbucks Coffee dan Kenny Rogers Roasters tahun ini.
Penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Soong Wei Siang, berkata Berjaya Food dijangka akan membuka sekitar 35 hingga 40 rangkaian baharu Starbucks Coffee selain empat hingga enam cawangan baru Kenny Rogers Roasters yang akan dilaksanakan pada tahun kewangan 2023.
"Kami mendapati bahawa 40 hingga 45 peratus daripada cawangan Starbucks akan mempunyai kemudahan pandu lalu, dengan syarikat masih meneruskan rancangan untuk menembusi pasaran separa bandar untuk meluaskan kehadiran rangkaiannya.
"Kami juga menjangkakan Kenny Rogers Roasters akan kekal memberikan keuntungan berikutan pelaksanaan rasionalisasinya," katanya dalam satu nota penyelidikan.
Syarikat itu ketika ini menguruskan lima jenama F&B antaranya Starbucks Coffee, Kenny Rogers Roasters, Jollibean dan Sala termasuk pembukaan Paris Baguette pertama di Pavilion Kuala Lumpur.
Wei Siang berkata, Paris Baguette dijangka akan dikembangkan dengan pembukaan lima cawangan baharu di ibu negara yang membabitkan perbelanjaan modal sebanyak RM2 juta setiap cawangan.
Beliau berkata, pada peringkat awal, Paris Baguette tidak akan memberikan sumbangan pendapatan yang diharapkan kumpulan.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis RHB Investment Bank Bhd, Raja Nur Aqilah Raja Ali, berkata prestasi kewangan Berjaya Food untuk suku kedua 2023 yang akan dikeluarkan pada 12 Februari ini dijangka lebih kukuh didorong oleh perayaan akhir tahun.
"Kami menjangkakan pendapatan separuh pertama 2023 akan kekal berdaya tahan, disokong oleh pengembangan rangkaian cawangan, pemulihan margin diterajui oleh kenaikan harga, perbelanjaan yang teguh dan penglibatan pemasaran yang berkesan serta inovatif pelancaran produk.
"Di samping itu, kemasukan semula pelancong dari China juga adalah petanda baik untuk kumpulan," katanya.