Khamis, 26 Januari 2023 | 5:06pm
Dari Kiri, Datuk Nor Azam M Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank MBSB dan Datuk Mohamad Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi di atas pentas, merasmikan Memorandum Persefahaman Pendigitalan Perbankan dan Penyelesaian Infrastruktur Pintar antara MBSB Bank dan CelcomDigi.
Dari Kiri, Datuk Nor Azam M Taib, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank MBSB dan Datuk Mohamad Idham Nawawi, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi di atas pentas, merasmikan Memorandum Persefahaman Pendigitalan Perbankan dan Penyelesaian Infrastruktur Pintar antara MBSB Bank dan CelcomDigi.

MBSB Bank, CelcomDigi kerjasama tingkat pendigitalan

KUALA LUMPUR: MBSB Bank Bhd (MBSB Bank) menjalin kerjasama strategik dengan CelcomDigi bagi mempertingkatkan lagi pendigitalan perbankannya.

Kerjasama sulung membabitkan bank Islam dan syarikat telekomunikasi terbesar negara itu akan menyokong MBSB untuk terus melayani pelanggannya dengan lebih baik dan pada masa yang sama meningkatkan kecekapan operasinya.

Di bawah kerjasama itu, MBSB Bank dan CelcomDigi akan meneroka peluang dalam penyelesaian perbankan pintar hujung ke hujung yang merangkumi perkhidmatan komprehensif untuk keselamatan siber, pembiayaan penyelesaian runcit pintar dan teknologi infrastruktur awan.

Selain itu, kedua-dua syarikat juga berhasrat untuk bekerjasama meninjau peluang komersial baharu dan aktiviti pergi ke pasaran secara bersama yang akan memberi manfaat kepada pelanggan dan pekerja mereka.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB Bank, Datuk Nor Azam M Taib, berkata kerjasama dengan CelcomDigi sudah pastinya adalah satu kejayaan penting terutamanya dalam industri sepertinya yang semakin berdaya saing berikutan kemajuan teknologi.

Justeru, beliau berkata, adalah menjadi harapan pihaknya bahawa bekerja secara strategik dengan peneraju pasaran dapat mempercepatkan kemajuan syarikat dalam bidang berkenaan.

"Kami merancang untuk mewujudkan penyelesaian Internet Kebendaan (IoT) perindustrian sebagai sebahagian daripada pembiayaan perniagaan, memfokuskan pada penggunaan teknologi hijau, automasi dan jaminan kualiti.

"Kami juga berhasrat untuk memanfaatkan teknologi awan untuk memajukan keupayaan digital kami kerana ini akan membantu meningkatkan tahap daya saing kami," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CelcomDigi, Datuk Mohamad Idham Nawawi, berkata pihaknya teruja untuk menjadi rakan kongsi digital MBSB Bank yang dipercayai untuk menyokong keperluan pendigitalan mereka.

Beliau berkata, pihaknya percaya mempunyai kepakaran dan sumber yang betul yang akan membantu memajukan keupayaan digital Bank MBSB, di samping bank itu maju dalam memanfaatkan teknologi untuk membawa produk, perkhidmatan dan pengalaman yang dipertingkatkan untuk pelanggannya.

"Kami berharap dapat membuka lebih banyak nilai daripada sinergi kami, sambil kami berinovasi secara bersama sambil menyokong agenda digital negara," katanya.

Berita Harian X