Selasa, 10 Januari 2023 | 10:43am
Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Banking Group, Jeffrey Ng
Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Banking Group, Jeffrey Ng

RHB bantu pelanggan individu, PKS terjejas banjir

KUALA LUMPUR: RHB Banking Group (RHB) menyediakan bantuan kewangan kepada pelanggan individu serta perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di seluruh negara yang terkesan oleh banjir baru-baru ini menerusi Program Bantuan Mangsa Banjir.

Di bawah program itu, pelanggan individu yang layak boleh memohon penangguhan pembayaran ansuran sehingga enam bulan bagi gadai janji, pinjaman Amanah Saham Bumiputera (ASB)/kemudahan Term Financing-i, pinjaman peribadi/Financing-i dan Hire Purchase/-i.

Selain itu, RHB menawarkan pengecualian caj bayaran lewat dan yuran pengurusan faedah/sebenar ke atas Credit Card/-i yang terjejas sehingga berjumlah RM500 mulai Januari hingga Jun 2023, selain pengecualian yuran penggantian kad bagi semua kad ATM, Debit Card/-i, serta Credit Card/-i.

Pelanggan PKS yang layak pula, boleh memohon penangguhan pembayaran ansuran sehingga enam bulan bagi Hire Purchase/-i, Pinjaman Terma/ Financing-i, faedah/keuntungan Overdraft/-i, pembayaran bil Multi Trade Line/-i dan kemudahan pembiayaan sedia ada yang lain.

RHB turut akan menyediakan dana pembiayaan bantuan banjir kepada PKS, termasuk penangguhan ansuran bagi pelanggan PKS baharu dan sedia ada, dengan kemudahan pembiayaan sehingga RM700,000 bagi tempoh tujuh tahun pada kadar pilihan.

Selain Program Bantuan Mangsa Banjir untuk pelanggan individu dan PKS, RHB Insurance juga menyediakan perkhidmatan tuntutan di bawah Pasukan Tindakan Bencana Alam, membolehkan tuntutan kecil lebih pantas bagi insurans motor dan kebakaran sehingga RM10,000 untuk kerosakan yang disebabkan oleh bencana alam.

Pengarah Urusan Perbankan Komuniti Kumpulan RHB Banking Group, Jeffrey Ng, berkata kesejahteraan pelanggan kekal menjadi keutamaan dan bank itu bersedia untuk melanjutkan bantuan diperlukan kepada mereka yang terkesan oleh banjir berlaku di beberapa kawasan dalam negara baru-baru ini.

"Kami bersimpati dengan cabaran dan kesusahan pelanggan di tengah-tengah tempoh yang mencabar ini. Sehubungan itu, saya amat menggalakkan pelanggan yang terkesan oleh banjir supaya menguhubungi RHB supaya kami boleh memberikan bantuan bersesuaian yang dapat meringankan beban kewangan mereka," katanya dalam satu kenyataan. x

Bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai Program Bantuan Mangsa Banjir, pelanggan boleh merujuk Soalan Lazim (FAQ) yang disediakan di https://www.rhbgroup.com/files/others/highlights/H20230109-1.pdf.

Berita Harian X