KUALA LUMPUR: Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP), Datuk Seri Asri Hamidon meletakkan jawatan sebagai Pengarah Bukan Bebas Bukan Eksekutif Tenaga Nasional Bhd (TNB) berkuat kuasa 5 Januari 2023.
TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia berkata, Asri, 56, juga akan meletakkan jawatan sebagai pengerusi jawatankuasa tender pengarah, ahli jawatankuasa pencalonan dan imbuhan syarikat serta ahli jawatankuasa pelan insentif jangka panjang pengarah syarikat utiliti nasional itu berkuat kuasa pada tarikh yang sama.
"Lembaga Pengarah TNB menzahirkan penghargaan kepada Datuk Seri Asri bin Hamidin @ Hamidon di atas sumbangannya kepada syarikat ini," katanya.
Asri, yang dilantik sebagai KSP pada 2020, sebelum ini dilaporkan 'dicutikan' kerana tidak kelihatan ketika majlis sambutan hari pertama Perdana Menteri yang juga memegang portfolio Menteri Kewangan pada 6 Disember lalu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim kemudiannya berkata, pertukaran KSP itu adalah satu perubahan biasa dan pertukaran Asri itu bukanlah seperti yang dilaporkan oleh media.
"Wewenang (hak dan kekuasaan untuk berbuat sesuatu atau untuk mengeluarkan perintah) perbincangan akan diputuskan penjawat awam yang diketuai Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Mohd Zuki Ali)," katanya.