JAKARTA: Agrobank memenangi Anugerah Institusi Kewangan Pembangunan Runcit Islam Terbaik Dunia 2022 pada Anugerah Perbankan Runcit Islam (IRBA) kelapan yang diadakan di Jakarta, baru-baru ini.
IRBA yang dianjurkan oleh Penasihat Kewangan Antarabangsa Cambridge (Cambridge IFA) memberi pengiktirafan kepada individu dan institusi yang telah menunjukkan komitmen dan sumbangan signifikan kepada pembangunan, pertumbuhan serta kejayaan perbankan runcit Islam.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Tengku Datuk Ahmad Badli Shah Raja Hussin, berkata anugerah berkenaan membuktikan kemuncak perjalanan transformasi bank itu sebagai institusi perbankan Islam penuh sejak 2015 dan akan mendorong Agrobank untuk terus memenuhi permintaan dan keperluan pasaran yang semakin meningkat.
"Ia juga adalah testimoni kepada keupayaan kami dalam menyediakan produk serta perkhidmatan perbankan Islam terbaik, terutamanya bagi produk peruncitan berasaskan Syariah, termasuk bagi segmen Perusahaan Kecil dan Sederhana serta pembiayaan mikro kepada pelanggan kami yang dihargai," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, Agrobank akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai sebuah bank Islam disegani yang menyokong visi Malaysia untuk menjadi hab ekonomi Islam global.
Ketua Pegawai Strategi Agrobank Mohamad Taufik Mahamad Zakaria turut hadir ke majlis anugerah itu yang turut disertai lebih 50 pemain industri perkhidmatan kewangan runcit Islam terbaik dari seluruh dunia.
-BERNAMA