Selasa, 13 Disember 2022 | 1:00pm
Kilang sarung tangan getah milik Hartalega di Sepang. - NSTP/YAZIT RAZALI
Kilang sarung tangan getah milik Hartalega di Sepang. - NSTP/YAZIT RAZALI

Permintaan lemah dorong keluaran perkilangan sederhana

KUALA LUMPUR: Pengeluaran pembuatan yang mencatatkan pertumbuhan paling perlahan dalam tempoh lima bulan pada Oktober 2022, dijangka terus sederhana kerana permintaan masih lagi tidak menentu tengah-tengah ketidakpastian yang berlanjutan, kata AmBank Research.

"Kami menjangkakan pembelian input, stok dan keyakinan perniagaan akan terus menyederhana dan meramalkan pembuatan akan turut berkembang secara sederhana pada suku keempat tahun ini. Ini pastinya akan mempengaruhi prestasi ekonomi keseluruhan pada suku berkenaan," katanya dalam nota penyelidikan.

Anggaran awalnya menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku keempat 2022 akan berlegar sekitar 6.1 peratus hingga 8.1 peratus selepas mencatatkan purata 9.2 peratus untuk tiga suku pertama 2022, menjadikan KDNK setahun penuh antara 8.5 peratus dan 9.0 peratus.

AmBank Research berkata prospek KDNKnya untuk 2023 ialah kira-kira 4.5 peratus, disokong oleh permintaan dalam negeri dan dibantu oleh eksport.

Sementara itu, Kenanga Investment Bank berkata penguncupan berterusan dalam indeks pengurus pembelian pembuatan Malaysia, diikuti dengan permintaan luar yang semakin lemah di tengah-tengah kelembapan pertumbuhan global dan penggunaan domestik yang semakin berkurangan dalam keadaan kewangan yang lebih ketat, mungkin terus memberi tekanan menurun terhadap aktiviti pembuatan pada suku akhir tahun 2022.

Dalam satu nota, ia berkata pertumbuhan KDNK suku keempat 2022 diunjur mencapai 6.6 peratus (suku ketiga 2022: 14.2 peratus) berdasarkan jangkaan penggunaan swasta yang lebih lemah.

Bank pelaburan itu turut mengekalkan unjuran indeks pembuatan 2022 pada 9.5 peratus (2021: 9.5 peratus.

– Bernama

Berita Harian X