SEBERANG JAYA: Sunway Healthcare Group melabur kira-kira RM400 juta untuk membina Sunway Medical Centre Penang (SMCP), hospital pertamanya di luar Lembah Klang.
Ketua Pegawai Eksekutif SMCP Stephanie Lee Wai Fern berkata SMCP adalah hospital ketiga di bawah Sunway Healthcare Group selepas Sunway Medical Centre di Bandar Sunway dan Sunway Medical Centre Velocity di Kuala Lumpur.
"Bagi fasa pertama, SMCP menawarkan 180 katil dan 54 klinik pakar pesakit luar yang mula beroperasi bulan lepas," katanya kepada pemberita selepas program lawatan media ke hospital tersebut, di sini, hari ini.
Beliau berkata kumpulan itu merancang meneruskan fasa kedua pembangunan SMCP tahun depan selepas mendapat kelulusan daripada Kementerian Kesihatan.
"Kelaknya nanti, hospital ini akan mempunyai kapasiti 333 katil, 93 suite perunding pakar dan 10 bilik pembedahan," katanya.
Wai Fern berkata SMCP menyasar untuk menyediakan penjagaan kesihatan yang berkualiti kepada keluarga dan masyarakat di kawasan sekitar.
"Di SMCP, kami sentiasa mahu memastikan pesakit kami mengalami pengalaman yang lancar. Penjagaan pesakit kami adalah keutamaan kami," katanya.
Menurutnya, ketika ini SMCP menawarkan lebih daripada 30 kepakaran perubatan, teknologi canggih, kemudahan moden dan juga menggunakan automasi dalam sistem penjagaan kesihatannya.
Sementara itu, Presiden Sunway Healthcare Group, Datuk Lau Beng Long berkata kumpulan itu merancang untuk membina lebih banyak hospital di negara ini dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
"Lebih banyak hospital akan dibina termasuk di Damansara Selangor pada akhir tahun depan, sebuah lagi di Ipoh, Perak pada 2024, serta di Kota Bahru, Kelantan dan Iskandar, Johor, dan pusat rehabilitasi di Paya Terubong, Pulau Pinang," katanya. – Bernama