Jumaat, 9 Disember 2022 | 9:21pm
Gambar fail. Pesawat AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - NSTP/MOHD ADAM ARININ
Gambar fail. Pesawat AirAsia berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu. - NSTP/MOHD ADAM ARININ

Capital A sasar semua 204 pesawatnya kembali operasi tahun hadapan

PHNOM PENH: Capital A Bhd menyasarkan kesemua 204 pesawatnya kembali beroperasi pada separuh pertama 2023 setelah memberhentikan penerbangan pesawat tersebut disebabkan pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Tan Sri Tony Fernandes berkata tahun hadapan operasi pesawatnya akan kembali ke tahap pra-pandemik.

"Tiga tahun lalu adalah mengenai kelangsungan hidup. Kami tidak bercakap tentang pertumbuhan pada 2022. Mulai separuh kedua 2023, kami akan mula berkembang," katanya kepada media Malaysia selepas AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL) dan Sivilai Asia yang berpangkalan di Kemboja menandatangani perjanjian usaha sama untuk menubuhkan syarikat penerbangan baharu, AirAsia Cambodia, di sini hari ini.

Syarikat usaha sama itu, yang mana AAAGL menguasai 51 peratus kepentingan, dijangka memulakan operasi pada akhir 2023.

AAAGL mengendalikan lima laluan ke Kemboja, iaitu dari Kuala Lumpur ke Siem Reap dan Phnom Penh, dari Pulau Pinang ke Phnom Penh (bermula 3 Jan, 2023), serta dari Bangkok (Don Mueang) ke Siem Reap dan Phnom Penh.

Kumpulan itu akan melatih rakyat tempatan Kemboja untuk mengendalikan syarikat penerbangan baharu itu.

Fernandes memberitahu bahawa salah satu komponen kritikal di mana-mana syarikat penerbangan adalah untuk memulakan latihan kepada orang tempatan.

"Jika anda lihat AirAsia sehingga ke tahap ini, kami tidak pernah mengalami kekurangan pekerja. Tetapi pada masa ini kami berdepan dengan kekurangan pekerja untuk pengendalian kargo.

"Oleh kerana kargo kami telah berkembang dengan begitu pantas, ia (tenaga kerja) tidak mencukupi dan kami perlu mengembangkan segmen itu," katanya.

Mengulas mengenai kemelesetan ekonomi, beliau berkata ia bukanlah sesuatu yang dibimbangkannya selepas pandemik COVID-19.

Beliau berkata orang ramai lebih suka membelanjakan wang untuk penerbangan jarak dekat, dan mereka mungkin akan melakukan perjalanan dengan syarikat penerbangan tambang rendah.

"Jadi kami akan mewujudkan permintaan, jangan bimbang tentang bahan api yang tinggi (kos), (dan) setakat yang kami boleh, kami akan terus menerbangkan orang ramai," tambahnya.

– Bernama

Berita Harian X