KUALA LUMPUR: AirAsia Aviation Group Ltd (AAAGL), anak syarikat penerbangan di bawah Capital A Bhd mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai syarikat penerbangan serantau dengan memperkenalkan AirAsia Cambodia.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata AirAsia Cambodia adalah syarikat penerbangan tambang rendah baharu di Kemboja dengan kerjasama melalui Perjanjian Usahasama (JV) dengan Sivilai Asia dan dijangka mula beroperasi pada separuh kedua 2023.
Beliau berkata, kehadiran syarikat penerbangan baru itu akan memperkukuh lagi jenama AirAsia di Kemboja dan Indochina, menyediakan akses yang lebih besar kepada pasaran domestiknya dan yang paling penting menghubungkannya ke pasaran antarabangsa di seluruh ASEAN serta Asia Utara.
Ia katanya juga akan membolehkan AAAGL beroperasi ke pelbagai pasaran sedia ada untuk membina skala, ketersambungan rangkaian dan mengurangkan kos operasi.
"AirAsia Cambodia berhasrat untuk merangsang lagi industri penerbangan di Kemboja, melancarkan destinasi baharu yang menarik dan mewujudkan peluang pekerjaan dan membawa operasi syarikat penerbangan tambang rendah di negara itu," katanya.
Fernandes berkata, Capital A sentiasa memberi tumpuan kepada ASEAN dan Kemboja ialah negara ASEAN kelima di mana kumpulan meneruskan usaha sebagai penyedia perkhidmatan penerbangan penumpang dan kargo nombor satu serantau.
Beliau berkata, pengenalan syarikat penerbangan baharu itu turut dapat membantu memacu pertumbuhan ekonomi bagi negara ASEAN.
Katanya, nilai rangkaian AirAsia adalah aset yang tidak dapat diatasi dan akan membuka peluang yang lebih besar untuk menghubungkan Kemboja ke rantau ini, selain China, India dan Asia Utara.
"Tahun 2022 adalah mengenai kebangkitan semula syarikat penerbangan kami ke tahap pra-Covid yang akan beroperasi sepenuhnya menjelang suku kedua 2023.
"Separuh kedua 2023 pula akan menyaksikan kami memberi tumpuan kepada pertumbuhan syarikat. Kami juga yakin dengan keuntungan pada tahun pertama memandangkan Kemboja adalah pasaran tidak asing bagi kami dan di mana kami mempunyai infrastruktur yang lengkap.
"Itulah sebabnya semua syarikat penerbangan kami pada masa hadapan akan berpangkalan di ASEAN. Ini kerana ia adalah titik utama kami dan boleh menjana keuntungan dengan cepat, selain menghubungkan rangkaian luas kami ke destinasi utama di Kemboja, iaitu Phnom Penh, Siem Reap dan Sihanoukville," katanya.
Mengulas lanjut, Fernandes berkata, Capital A mempunyai hasrat untuk merapatkan jurang antara negara-negara ASEAN dengan misi mendemokrasikan perjalanan udara, menghubungkan tetamu dan destinasi, memberikan nilai terbaik, menyokong sektor pelancongan dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi.
Beliau berkata, Capital A akan terus memacu pertumbuhan ini dan saya yakin terhadap peluang perkhidmatan di negara ini yang juga salah satu ekonomi yang paling dinamik dan pesat berkembang di ASEAN dalam kedua sektor digital dan penerbangan.
AAAGL ialah syarikat penerbangan asing terbesar dan kumpulan syarikat penerbangan kedua terbesar secara keseluruhannya yang beroperasi ke Kemboja dari segi kapasiti.
Ketika tempoh pra pandemik, AirAsia mengendalikan 92 penerbangan mingguan dari Malaysia dan Thailand ke negara itu dan ketika ini ia beroperasi sekitar 47 penerbangan mingguan ke Kemboja.
AAAGL mengendalikan lima laluan ke Kemboja dari Kuala Lumpur ke Siem Reap dan Phnom Penh, dari Pulau Pinang ke Phnom Penh (bermula 3 Januari 2023) serta dari Bangkok (Don Mueang) ke Siem Reap dan Phnom Penh.
Sejak memasuki pasaran Kemboja pada tahun 2005, AirAsia telah membawa lebih 10 juta tetamu ke dan dari negara itu.