Isnin, 5 Disember 2022 | 5:23pm
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes. - Bernama
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes. - Bernama

Tidak bergabung, tapi diletakkan bawah entiti baharu

KUALA LUMPUR: Capital A Bhd menegaskan tiada penggabungan membabitkan semua syarikat penerbangan di bawahnya, sebaliknya ia akan diletakkan di bawah satu entiti baharu.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Tan Sri Tony Fernandes berkata, semua cabang penerbangan di bawah Capital A antaranya AirAsia Bhd dan AirAsia Aviation Group Ltd, yang mempunyai pegangan saham dalam AirAsia Indonesia, AirAsia Filipina dan AirAsia Thailand serta AirAsia X akan diletakkan di bawah AirAsia Aviation Group (AAG).

Katanya, biarpun diletakkan di bawah satu entiti, namun dari segi operasi, setiap syarikat penerbangan akan beroperasi secara berasingan.

"Tiada penggabungan,tetapi sebagai sebuah syarikat di bawah AAG, kami boleh mengurangkan banyak kos, tetapi setiap penerbangan akan beroperasi bersendirian.

"Ia seperti IAG (International Airlines Group) yang memiliki (syarikat penerbangan) British Airways, Iberia dan Aer Lingus.

"Jadi AAG akan memiliki AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Indonesia, AirAsia X dan Thai AirAsia X. Tiada penggabungan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran pakej langganan AirAsia Super+ Unlimited di sini, hari ini.

Produk langganan penerbangan serta tawaran gaya hidup pertama di dunia, SUPER+ oleh airasia Super App kini tersedia untuk pembelian di seluruh dunia, dengan versi yang dipertingkatkan yang akan membolehkan pelanggan untuk terbang ke destinasi yang lebih jauh serta menikmati lebih banyak tawaran menarik merentasi keseluruhan ekosistem airasia.

Sehingga kini, lebih 100,000 pelanggan SUPER+ telah menebus lebih 500,000 tempat duduk penerbangan seluruh Asean, dengan penebusan tertinggi sebanyak 100 tempat duduk dalam tempoh 12 bulan.

Hanya 200,000 pelan langganan SUPER+ tersedia untuk dibeli dan boleh didapati mulai hari ini sehingga 11 Disember 2022.

Mengulas lanjut, Tony berkata, menuju ke depan syarikat penerbangan itu akan menerima pesawat Airbus A321 yang mana ia telah menempah 325 pesawat berkenaan.

Mengenai rangkaian SUPER+ baharu itu Tony berkata, pihaknya telah berusaha untuk menyediakan syarikat untuk memenuhi lonjakan permintaan terhadap pengembaraan.

"Kami teruja dengan pembukaan semula pasaran pelancongan seperti Jepun, Korea Selatan, Taiwan, Hong Kong dan banyak lagi yang akan datang dalam masa terdekat.

"Langganan SUPER+ merakam keindahan ekosistem platform airasia Super App kami, yang menghimpunkan semua syarikat penerbangan, produk serta perkhidmatan pelancongan kami seperti hotel, bersama dengan tawaran e-dagang kami seperti airasia ride, yang turut disertakan sebagai faedah SUPER+.

"Ini adalah satu lagi produk yang menyerlahkan DNA kami iaitu untuk mencipta nilai untuk pelanggan kami, dan kami akan terus memperjuangkan ini dalam semua produk dan perkhidmatan baharu yang akan kami perkenalkan pada masa hadapan," katanya.

Berita Harian X