KUALA LUMPUR: Capital A Bhd, dahulunya dikenali sebagai AirAsia Group Bhd, sedang memohon lanjutan tempoh daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk mengemukakan pelan penyusunan menyeluruh dalam menangani status Nota Amalan 17 (PN17).
Kumpulan itu dalam satu kenyataan berkata, ia menjangkakan untuk mengumumkan pelan penyusunan semula yang telah dimuktamadkan kepada pihak Bursa Malaysia Securities pada bulan Januari 2023 dan diikuti dengan penyerahan untuk kelulusan dijangka pada Februari 2023.
Capital A sebelum ini telah mengumumkan pelantikan RHB Investment Bank Bhd, BDO Consulting Sdn Bhd, Deloitte Corporate Advisory Services Sdn Bhd, Ernst & Young PLT, Adnan Sundra & Low, and Providence Strategic Partners sebagai penasihat mengenai pelan pemulihannya.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A, Tan Sri Tony Fernandes, berkata pihaknya sudah di penghujung kesan pandemik COVID-19, sama seperti kebanyakan syarikat penerbangan lain di seluruh dunia, dan ingin kembali bersaing dengan lebih kukuh daripada sebelumnya.
Katanya, syarikat penerbangan dan rangkaian perniagaannya juga sudah mula kembali ke tahap pra-pandemik dan perniagaan digitalnya telah menunjukkan prestasi yang lebih baik daripada apa yang telah dijangkakan.
"Biarpun status PN17 kami kekal sebagai satu isu perakaunan dan tidak menggambarkan daya maju perniagaan dan prospek Capital A secara tepat, kami tetap bekerja keras untuk merangka pelan bagi menangani status PN17 itu sebagai bahagian penting dalam proses pemulihan pasca pandemik kami.
"Kami berterima kasih atas sokongan dan kerjasama yang luar biasa setakat ini daripada pihak penyedia pajakan pesawat, rakan kongsi, pelanggan, kakitangan dan pihak berkepentingan lain, membolehkan kami untuk bertahan sejauh ini dan menjadikan krisis ini sebagai sebuah peluang. Bersama rakan kongsi kami, penasihat kewangan serta undang-undang, kami sedang memuktamadkan sebuah skim, tertakluk kepada kelulusan kawal selia dan lain-lain yang diperlukan.
"Kami jangka langkah ini bukan sahaja akan mengangkat kami daripada status PN17, tetapi juga akan memberikan nilai yang sangat besar kepada pemegang saham Capital A, dan akhirnya, membawa kami kepada kedudukan kewangan dan keuntungan yang lebih sihat," katanya dalam satu kenyataan.
Beliau menjelaskan, skim itu tidak akan membabitkan pencairan nilai pemegang saham.
Katanya, pada dasarnya, skim itu akan menghasilkan pemisahan yang jelas antara tiga portfolio perniagaan utama Capital A, iaitu kumpulan penerbangan, kumpulan perniagaan digital dan kumpulan logistik dan perkhidmatan kejuruteraan penerbangan.
"Pelan yang telah dirancang itu akan membabitkan pelupusan perniagaan penerbangan Capital A, iaitu AirAsia Bhd dan AirAsia Aviation Group Ltd, kepada AirAsia X Bhd (AAX).
"Pertimbangan saham, yang diterima sebagai pertukaran untuk pelupusan itu, kemudiannya akan diagihkan kepada para pemegang saham Capital A, supaya mereka akan mengekalkan kepentingan langsung dalam perniagaan penerbangan melalui AAX, berikutan penstrukturan semula ini.
"Pada dasarnya, melalui skim ini, nilai pemegang saham Capital A akan terus dilindungi. Capital A akan dijenamakan semula sebagai kumpulan perkhidmatan penerbangan dan perniagaan digital, tertakluk kepada proses pelupusan dan pengagihan kepentingan. Kami merancang untuk penyenaraian yang berasingan untuk perniagaan perkhidmatan penerbangan Capital A pada masa akan datang sebaik sahaja status PN17 diselesaikan," katanya.
Capital A menjangkakan untuk menyelesaikan pelaksanaan pelan penyusunan semula menjelang Julai 2023, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan termasuk daripada Lembaga Pengarah, pemegang saham dan pemegang terbitan hak, Bursa Malaysia Securities dan pihak berkuasa berkaitan yang lain.