KUALA LUMPUR: RHB Bank Bhd meraih keuntungan bersih berjumlah RM700.5 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, meningkat berbanding RM635.6 juta yang diraih suku sama tahun lalu.
Keuntungan lebih tinggi yang diraih RHB Bank disokong peningkatan pendapatan kepada RM3.49 bilion bagi tempoh suku dikaji, daripada RM3.03 bilion yang diraih pada suku ketiga 2021.
Bagi tempoh sembilan bulan 2022, RHB Bank mencatatkan keuntungan bersih berjumlah RM1.94 bilion, susut daripada RM1.99 bilion yang diraih pada tiga suku tahun 2021, meskipun pendapatan lebih tinggi kepada RM9.33 bilion berbanding RM8.86 bilion yang diperoleh pada Januari hingga September 2021.
Menurut RHB Bank, jumlah aset kumpulan pula meningkat 5.8 peratus kepada RM306.4 bilion pada 30 September, manakala aset bersih sesaham ialah RM6.66, dengan ekuiti pemegang saham pada RM28.0 bilion pada akhir September 2022.
Katanya, kedudukan modal RHB Bank kekal kukuh dengan Ekuiti Biasa Tahap 1 (CET-1) dan jumlah nisbah modal, masing-masing berada pada 16.4 peratus dan 18.8 peratus.
"Pinjaman dan pembiayaan kasar kumpulan meningkat 5.7 peratus setakat ini kepada RM209.7 bilion, disokong terutamanya oleh pertumbuhan gadai janji, pembiayaan kenderaan, perusahaan kecil dan sederhana (PKS), komersial, Singapura dan Kemboja. Pinjaman dan pembiayaan domestik meningkat 4.3 peratus setakat September 2022.
"Pinjaman terjejas kasar pula berada pada RM3.3 bilion setakat September 2022, manakala deposit pelanggan meningkat 3.1 peratus setakat tahun ini kepada RM225.6 bilion," katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Kumpulan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Banking Group, Mohd Rashid Mohamad, berkata perniagaan kumpulan kekal berdaya tahan dan terus menyampaikan prestasi memberangsangkan bagi tempoh sembilan berakhir September 2022, meskipun dalam persekitaran perniagaan mencabar.
"Asas perniagaan kami kekal kukuh dan akan terus memantau kualiti aset dengan teliti.
"Kami juga sedar bahawa sesetengah pelanggan masih dalam proses pemulihan daripada kesan pandemik COVID-19 dan oleh itu, kami akan terus memberikan sokongan dan bantuan yang diperlukan terutamanya kepada kumpulan yang paling terdedah dalam komuniti," katanya.
Melangkah ke hadapan, Mohd Rashid berkata, strategi 'Together We Progress 24' (TWP24) dijangka terus membimbing RHB Bank ke arah pertumbuhan berkualiti dan memacu kecemerlangan perkhidmatan di semua saluran, disokong oleh cadangan digital yang mantap.