Khamis, 24 November 2022 | 10:47pm
PROTON menyumbang prestasi kewangan cemerlang DRB-Hicom - NSTP/Faiz Anuar
PROTON menyumbang prestasi kewangan cemerlang DRB-Hicom - NSTP/Faiz Anuar

Jualan kukuh PROTON bantu DRB-Hicom kembali untung

KUALA LUMPUR: DRB-Hicom Bhd kembali mencatatkan keuntungan pada suku ketiga berakhir 30 September 2022, mencatatkan keuntungan bersih RM143.95 juta berbanding kerugian bersih RM179.44 juta pada suku yang sama tahun lalu.

Hasil bagi tempoh dalam tinjauan melonjak 114.2 peratus kepada RM4.54 bilion daripada RM2.1 bilion sebelumnya.

"Perolehan yang lebih tinggi itu disumbangkan terutamanya oleh jualan yang lebih tinggi daripada PROTON serta hasil yang lebih tinggi daripada syarikat pembuatan dan kejuruteraan dan pengedaran automotif," katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

Mengenai industri, DRB-Hicom berkata industri automotif kekal di landasan untuk mencapai unjuran jumlah volum industri (TIV) 2022 sebanyak 630,000 unit.

Jualan kenderaan meningkat lebih 60 peratus kepada 516,798 unit dalam sembilan bulan pertama 2022 manakala PROTON melebihi pencapaian jualan 100,000 unit, menjual 102,353 unit bagi tempoh kewangan berakhir 30 Sept 2022 daripada 73,017 unit dalam tempoh yang sama.

"Selain itu, pertumbuhan memberangsangkan dalam jumlah jualan ini memacu prestasi yang lebih baik bagi syarikat pembuatan dan kejuruteraan dalam kumpulan kerana mereka membentuk sebahagian daripada rantaian bekalan PROTON," katanya.

-BERNAMA

Berita Harian X