KUALA LUMPUR: Bank Rakyat mengumumkan pelantikan Datuk Mohd Irwan Mohd Mubarak sebagai Pemangku Pengerusi berkuat kuasa 1 November 2022.
Mohd Irwan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah pada 24 Julai 2020 dan beliau juga menganggotai pelbagai jawatankuasa peringkat Lembaga Pengarah Bank Rakyat.
Pelantikan itu adalah berikutan Pengerusi Bank Rakyat, Datuk Abdul Rani Lebai Jaafar akan menamatkan perkhidmatannya pada 31 Disember 2022.
Sehubungan dengan itu, Abdul Rani mula bercuti pada 1 November 2022 sehinggalah tamat tempoh perkhidmatannya.
Beliau mula dilantik sebagai Ahli Lembaga Pengarah Bank Rakyat sejak 1 Januari 2018.
Pada 28 Julai 2020, Abdul Rani memangku jawatan Pengerusi Bank Rakyat dan kemudiannya menyandang jawatan berkenaan pada 1 Januari 2021.
Abdul Rani dalam satu kenyataan merakamkan penghargaan kepada Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), pengurusan KUSKOP, Lembaga Pengarah dan Jawatankuasa Pengurusan Bank Rakyat, pihak berkepentingan serta seluruh anggota dan pelanggan yang telah memberi sokongan semasa beliau menerajui Bank Rakyat, terutamanya ketika berhadapan dengan kemelut pandemik COVID-19.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan juga merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Abdul Rani atas sumbangan, khidmat bakti dan komitmen yang tinggi dalam menjalankan tugas sepanjang tempoh perkhidmatan beliau.