Selasa, 25 Oktober 2022 | 5:11pm
Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tan Sri Tony Fernandes. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD
Gambar fail. Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Capital A, Tan Sri Tony Fernandes. - NSTP/HAZREEN MOHAMAD

Industri pelancongan perlu dirangsang segera

Oleh Alzahrin Alias

[email protected]

KUALA LUMPUR: Pandemik COVID-19 sudah tidak boleh dijadikan halangan kepada pertumbuhan semula industri pelancongan dan penerbangan di Malaysia serta global.

Ketua Pegawai Eksekutif Capital A Bhd, Tan Sri Tony Fernades berkata, industri pelancongan yang berkait rapat dengan penerbangan perlu dihidupkan semula dengan lebih pantas selepas berdepan dengan tempoh suram dua tahun lalu.

Beliau berkata, langkah pembukaan sempadan dan meneruskan operasi pelancongan serta perniagaan seperti biasa adalah perlu di peringkat global bagi pemulihan menyeluruh industri termasuk Capital A.

"Apabila industri pelancongan kembali beroperasi sepenuhnya, kami telah menerbangkan 100 juta pelanggan melalui rangkaian ketersambungan AirAsia.

"Ini menunjukkan bahawa rangkaian pelanggan kami adalah kukuh. Rangkaian pelanggan yang berharga ini adalah sesuatu yang tidak dapat ditawarkan oleh ejen pelancongan atas talian (OTA) yang lain selain airasia Super App kerana kami adalah satu-satunya aplikasi super kembara yang juga memiliki sebuah syarikat penerbangan.

"Dengan pemulihan industri pelancongan dan kebolehan airasia Super App sebagai sebuah ejen pelancongan dalam talian (OTA), memperkukuh platform tempahan hotel kami adalah penting untuk memperoleh dan memenuhi permintaan pasaran," katanya selepas majlis kerjasama Super App dengan rangkaian hotel di sini hari ini.

Fernandes berkata, Capital A ingin menekankan semula kepada rakan kongsi perhotelannya, dengan keberadaan mereka pada platform tempahan hotel airasia Super App, mereka akan dapat memanfaatkan pangkalan maklumat pengembara sedia ada yang kukuh dan mantap.

Beliau berkata, ia juga dapat bersama-sama menawarkan pengalaman perjalanan yang dipertingkatkan dalam satu aplikasi lancar kepada pelanggan.

"Semua ini adalah berkaitan dengan mempunyai ekosistem perjalanan lengkap yang bakal mencipta nilai yang lebih baik untuk pelanggan kami.

"Menjadi sebuah OTA yang memiliki syarikat penerbangan membolehkan kami menawarkan produk seperti SNAP iaitu kombinasi tempahan penerbangan dan hotel kami, mewujudkan pengambilan yang lebih baik untuk rakan kongsi hotel kami sambil memberikan pengalaman tempahan yang lebih baik kepada pelancong," katanya.

Super App mengukuhkan lagi kedudukannya sebagai sebuah platform aplikasi super kembara dan gaya hidup paling pesat berkembang serantau dengan menjalin kerjasama jenama hotel terkemuka dari Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina.

Fernandes berkata, kerjasama itu bakal memberikan inventori hotel yang besar kepada 'airasia hotels', seterusnya menyediakan pengguna aplikasi supernya itu lebih kemudahan dan nilai dengan pelbagai pilihan hotel mengikut bajet mereka melalui airasia Super App.

Beliau berkataz platform tempahan hotel airasia Super App dapat memanfaatkan keberadaan jenama kukuh AirAsia serta rangkaiannya, di samping pangkalan data pengguna harian yang sentiasa mencari tawaran perjalanan sebanyak 1.25 juta pengguna.

"airasia Super App mempunyai pasukannya yang khusus di Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina untuk menyokong setiap rakan kongsi perhotelannya dengan strategi yang betul dan trend perjalanan semasa.

"Sebagai sebuah platform tempahan hotel, airasia Super App menawarkan lebih 700,000 pilihan hotel di seluruh dunia kepada pengguna, keupayaan untuk memperoleh serta menebus mata airasia dan menggandingkan tempahan penerbangan dan hotel mereka dalam satu transaksi melalui SNAP.

"Platform tempahan hotel airasia Super App juga akan menjamin harga hotel terbaik pada platformnya melalui skim 'Jaminan Harga Terbaik' yang akan dilancarkan tidak lama lagi, selain daripada kadar istimewa untuk ahli airasia," katanya.

Berita Harian X