Jumaat, 9 September 2022 | 8:19pm

WCM, BKSB, AHB jalin kerjasama strategik

KUALA LUMPUR: Widuri Capital Management Sdn Bhd (WCM), Bintang Kencana Sdn Bhd (BKSB) dan ANDORRA Healthcare Bhd (AHB) menjalin kerjasama strategik bagi pembangunan kemudahan penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak di tanah wakaf Johor dan Selangor.

Pengarah WCM, Datuk Alex Wee Cheng Kwan, berkata kerjasama itu akan melengkapkan kewujudan WCM untuk menyediakan syarikat berasaskan kemudahan penjagaan kesihatan tempatan dengan akses yang lebih besar kepada sumber dana alternatif daripada pasaran ekuiti swasta tempatan.

WCM ialah perbadanan pengurusan ekuiti persendirian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

"Sebagai rakan kongsi dalam BKSB, kami tidak ragu-ragu mengenai keupayaan BKSB untuk membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan baharu dan mengiktiraf keupayaan AHB dalam menguruskan hospital berkenaan," katanya dalam satu kenyataan.

Tambahnya, dana itu akan dapat memudahkan rancangan BKSB untuk melaksanakan pembangunan berkenaan.

Ketua Pegawai Eksekutif BKSB, Datuk Ahmad Raziff Abu Bakar, berkata projek itu bukan saja memberi manfaat kepada masyarakat yang disasarkan di sekitar tanah wakaf, malah menawarkan projek pembangunan berpotensi untuk BKSB dalam masa terdekat.

Beliau berkata, kerjasama itu penting bagi BKSB untuk mempromosikan beberapa projek pembangunan hospital lain di seluruh negara serta tanah wakaf menjadi makmur dan mampu memberi manfaat kepada masyarakat sasaran.

"BKSB telah mengenal pasti lokasi lain yang berpotensi di negara ini dan telah bekerjasama dengan pengendali terkemuka di samping mempromosikan pusat kecemerlangan itu," katanya.

Pengarah dan Pengasas AHB, Dr Khamsiah Muda, berkata pembangunan hospital itu akan menjadi sebahagian daripada pelan pembesaran Hospital Wanita dan Kanak-Kanak ANDORRA dalam mempromosikan konsep Penjagaan Ihsan dalam persekitaran penjagaan kesihatan pelbagai disiplin.

Ketika ini, ia terletak di Seri Kembangan, Selangor, Hospital Wanita dan Kanak-kanak ANDORRA menawarkan perkhidmatan pakar penjagaan kesihatan wanita dan kanak-kanak.

"Pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) ini adalah sebahagian daripada pelan induk AHB untuk pengembangan kemudahan penjagaan kesihatan kami bagi membolehkan wanita dan kanak-kanak mendapat akses mudah kepada perkhidmatan penjagaan kesihatan pakar terkemuka dalam persekitaran yang penuh belas kasihan dan penyayang yang tiada duanya," katanya.

Pembabitan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) dan Perbadanan Islam Johor (PIJ) dalam kerjasama itu juga akan menyumbang kepada impak yang besar kepada keseluruhan rancangan pembangunan kerana mereka adalah institusi yang diamanahkan kerajaan dalam membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan di tanah wakaf.

Berita Harian X