Khamis, 1 September 2022 | 11:57am
Tenaga Nasional Bhd (TNB) - Foto fail NSTP
Tenaga Nasional Bhd (TNB) - Foto fail NSTP

Harga bahan api tinggi beri tekanan aliran tunai TNB

KUALA LUMPUR: Harga bahan api yang masih tinggi dijangka akan terus memberi tekanan kepada aliran tunai operasi Tenaga Nasional Bhd (TNB), demikian menurut penganalisis.

Penganalisis Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, Daniel Wong, berkata akaun belum terima TNB terus melonjak kepada RM19.3 bilion pada suku kedua 2022, berbanding RM14.2 bilion pada suku pertama, terutamanya disebabkan oleh peningkatan berterusan kos penjanaan bahan api sepanjang tempoh itu.

Selain itu, terdapat kesan daripada Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT) yang diluluskan sebanyak RM7 bilion dalam separuh kedua tahun kewangan 2022, berbanding ICPT sebanyak RM9.4 bilion yang diiktiraf pada separuh kedua 2022 dan tunggakan RM2.4 bilion daripada separuh kedua 2021.

"Kami menjangkakan aliran tunai akan terkesan oleh ketidakpadanan pelepasan kos bahan api dalam jangka terdekat ini," katanya dalam satu nota penyelidikan.

Sementara itu, Penganalisis RHB Research, Sean Lim, berkata jika kerajaan terus mengekalkan kadar tarif tidak berubah pada separuh pertama 2023, subsidi bahan api yang lebih tinggi diperlukan untuk menutup jurang berkenaan.

Beliau berkata, kos penjanaan terus meningkat pada suku kedua 2022 iaitu sebanyak 28 peratus berikutan harga gas dan arang batu yang tinggi.

Katanya, peningkatan dilihat turut berlaku dalam campuran penjanaan arang batu pada suku kedua 2022 sebanyak 58 peratus berbanding 54 peratus pada suku pertama 2022, sementara campuran penjanaan gas rendah sebanyak 37 peratus.

"Kami berpandu subsidi bahan api RM5.8 bilion untuk separuh pertama 2022 telah dibahagikan kepada bayaran bulanan pada separuh kedua 2022.

"Dengan harga bahan api yang masih tinggi, kami percaya aliran tunai operasi akan kekal di bawah tekanan. Jika kerajaan mengekalkan kadar tarif tidak berubah pada separuh pertama 2023, subsidi bahan api yang lebih tinggi akan diperlukan untuk menutup jurang," katanya dalam satu nota penyelidikan.

TNB mencatat keuntungan bersih lebih tinggi kepada RM872.2 juta bagi suku kedua berakhir pada 30 Jun 2022 berbanding RM821.5 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Prestasi itu disumbangkan oleh peningkatan keuntungan operasi yang disokong oleh kerugian bersih instrumen kewangan yang lebih rendah.

Syarikat utiliti negara itu berkata, keuntungan bersih bagi suku kedua berkenaan bagaimanapun diimbangi oleh kenaikan ketara dalam kerugian tukaran mata wang asing serta perbelanjaan cukai.

Perolehan hasilnya melonjak kepada RM19.14 bilion daripada RM12.44 bilion sebelum ini, disebabkan oleh peningkatan 'kekurangan kedudukan pemulihan' mekanisme ICPT sebanyak RM6.3 bilion berbanding RM314.6 juta bagi tempoh sama tahun lalu.

Sementara itu, Lim berkata, kapasiti tenaga boleh diperbaharui (RE) semasa TNB ialah 3.8 gigawatt (GW), yang mana 16 peratus daripada jumlah kapasiti termasuk loji tenaga hidro Bajoli Holi 180 megawatt (MW) yang baru beroperasi di India.

Beliau berkata, ia masih ketinggalan daripada sasaran 8.3 GW menjelang 2025, yang membayangkan akan ada penggabungan dan pengambilalihan (M&A) lebih agresif dalam segmen itu pada masa hadapan.

Berita Harian X