Khamis, 29 September 2022 | 10:42pm
(Dari kiri) Bergstrom, Abdul Halim, Thomaeus, Najihah dan Pengasas Bersama SIBS Group, Par Thomaeus pada majlis pengumuman pengembangan kilang SIBS - Foto ihsan MIDA
(Dari kiri) Bergstrom, Abdul Halim, Thomaeus, Najihah dan Pengasas Bersama SIBS Group, Par Thomaeus pada majlis pengumuman pengembangan kilang SIBS - Foto ihsan MIDA

SIBS labur RM500 juta perluas kilang di Pulau Pinang

KUALA LUMPUR: Sistem binaan berindustri (IBS) berpangkalan di Sweden, Scandinavian IBS Sdn Bhd (SIBS) melaksanakan pengembangan tambahan seluas 6.07 hektar di kilang baharunya di Penang Science Park, Simpang Ampat, membabitkan pelaburan bernilai RM500 juta bagi tempoh lima tahun akan datang.

Menurut kenyataan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan SIBS, usaha itu akan meningkatkan pengeluaran berikutan permintaan lebih tinggi terhadap IBS, satu kaedah pembinaan moden yang membabitkan usaha pembuatan bahan prafabrikasi di luar tapak yang kemudiannya dipasang di lokasi terbabit.

Ketua Pegawai Eksekutif MIDA, Datuk Wira Arham Abdul Rahman, berkata langkah SIBS itu jelas memaparkan kekukuhan asas-asas ekonomi Malaysia serta ekosistem inovasi memberangsangkan, khususnya dalam industri IBS.

"Kehadiran syarikat itu akan turut menggalakkan lagi pertumbuhan syarikat-syarikat tempatan dalam industri terbabit.

"MIDA kekal komited untuk mengembangkan lagi industri dengan kalangan pelabur strategik seperti SIBS. Malah, ini kejayaan penting bagi Malaysia dalam merealisasikan aspirasi untuk menarik pelaburan berkualiti tinggi daripada syarikat-syarikat terkemuka di serata dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif SIBS, Erik Thomaeus, berkata syarikat itu telah menyenaraikan Malaysia sebagai destinasi utama bagi pembuatan berkaitan pembinaan.

Menurutnya, ini turut membuktikan tarikan Malaysia sebagai hab perniagaan dan inovasi.

"Usaha pengembangan kami di Malaysia akan dilaksanakan secara berfasa yang pada akhirnya merangkumi jumlah pelaburan kira-kira RM500 juta," katanya.

Jumlah keluasan kilang baharu itu akan mencecah kira-kira dua kali saiz sedia ada selain peningkatan kapasiti lebih empat kali dan akan beroperasi pada suku ketiga 2022.

Projek itu dijangka menyediakan 1,200 pekerjaan tambahan untuk masyarakat tempatan selain menambah jumlah kategori produk ke pasaran yang lebih pelbagai.

"Selain itu, projek ini juga dijangka dapat menjana nilai tambah sebanyak RM552 juta (AS$120 juta) dari segi penyumberan tempatan membabitkan bahan mentah serta komponen," katanya.

Majlis itu turut dihadiri oleh Exco Perdagangan, Industri dan Pembangunan Usahawan Negeri Pulau Pinang, Datuk Abdul Halim Hussain; Duta Besar Sweden ke Malaysia, Dr Joachim Bergstrom dan Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan MIDA (Bukan Sumber), Najihah Abas.

-BERNAMA

Berita Harian X