Khamis, 4 Ogos 2022 | 7:25pm
Presiden dan CEO EXIM Bank, Arshad Mohamed Ismail
Presiden dan CEO EXIM Bank, Arshad Mohamed Ismail

Arshad dilantik jadi CEO baharu EXIM Bank

KUALA LUMPUR: Export-Import Bank of Malaysia Bhd (EXIM Bank) mengumumkan pelantikan Arshad Mohamed Ismail sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuat kuasa 1 Ogos 2022.

"Arshad membawa pengalaman meluas dalam pelbagai bidang kuasa perbankan dan kewangan, terutama dalam bidang perbankan korporat, pasaran modal hutang, kewangan Islam, pengurusan aset dan pembiayaan pembangunan, yang akan meletakkannya di kedudukan mantap untuk memacu perniagaan serta melaksanakan perubahan diperlukan oleh organisasi," kata Pengerusi EXIM Bank, Datuk Azman Mahmud.

Arshad sebelum ini dilantik sebagai Presiden/CEO Kumpulan Bank Pembangunan Malaysia Bhd (BPMB).

Sebelum BPMB, pelantikan beliau termasuk pelbagai jawatan kepimpinan dan pengurusan di Maybank Islamic Bhd, International Islamic Liquidity Management Corporation (IILM), Al Hilal Bank di Abu Dhabi, Aayan Capital di Arab Saudi, HSBC Amanah di Emiriah Arab Bersatu (UAE), selain salah seorang anggota perintis CIMB Islamic.

Arshad memegang ijazah Sarjana Muda Undang-Undang daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Sarjana Pentadbiran Perniagaan daripada London Business School, United Kingdom.

Beliau adalah Ahli Perbankan bertauliah dengan Asian Institute of Chartered Bankers dan dilantik ke dalam SC-OCIS Fellowship in Islamic Finance di Oxford Centre for Islamic Studies pada 2015.

Berita Harian X