Rabu, 13 Julai 2022 | 11:22am
PROTON Holdings Bhd
PROTON Holdings Bhd

PROTON muktamad terbitan sukuk RM700 juta

SUBANG JAYA: Pengeluar kereta nasional, PROTON Holdings Bhd menerusi anak syarikatnya, PONSB Capital Bhd berjaya memuktamadkan terbitan bahagian kedua Nota Jangka Sederhana Islam (IMTN) bernilai RM700 juta di bawah program Sukuk Wakalah.

IMTN terbabit terbukti popular dalam kalangan komuniti pelabur dan terlebih langganan hampir empat kali ganda.

Program Sukuk Wakalah PROTON terdiri daripada Kertas Komersial Islam (ICP) yang bernilai RM1 bilion dalam nilai nominal bersama IMTN yang bernilai RM4 bilion dalam nilai nominal.

Ia mempunyai had gabungan sehingga RM4 bilion nilai nominal berdasarkan prinsip Syariah Wakalah Bi Al-Istithmar.

Bahagian kedua untuk IMTN yang bernilai RM700 juta adalah susulan daripada bahagian pertama IMTN bernilai RM500 juta yang telah dilengkapkan pada bulan Disember tahun lalu.

Ketua Pegawai Kewangan PROTON, Wang Huaibing, berkata syarikat itu

berbesar hati untuk memuktamadkan terbitan dana Sukuk peringkat kedua dengan kerjasama CIMB Investment Bank Bhd dan RHB Investment Bank Bhd bertindak sebagai pengurus utama bersama.

Katanya, dana yang diperoleh akan membantu membiayai rancangan pembangunan masa depan syarikat serta keperluan modal operasi.

"Kami berazam untuk melaksanakan strategi pertumbuhan syarikat dan pada tahun-tahun akan datang terdapat beberapa perkembangan menarik dalam rancangan PROTON.

"Ini termasuk pelancaran produk baharu, menembusi lebih banyak pasaran eksport dan memasuki segmen kenderaan tenaga baharu.

"Dengan jumlah dana sebanyak RM4 bilion, masih terdapat banyak peluang untuk lebih ramai pelabur menyertainya dan saya yakin PROTON akan memberi ganjaran kepada pelabur yang menaruh harapan pada kami," katanya dalam satu kenyataan.

Berita Harian X