Selasa, 12 Julai 2022 | 3:04pm
Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (kanan) menerima replika cek daripada Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar - Foto BERNAMA
Yang Dipertua MAIK, Tengku Temenggong Kelantan Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz (kanan) menerima replika cek daripada Gerbang Alaf Restaurants Sdn Bhd yang diwakili oleh Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald’s Malaysia, Datuk Azmir Jaafar - Foto BERNAMA

McDonald's rancang lima restoran baharu di Kelantan

KOTA BAHRU: McDonald's Malaysia akan membuka lima lagi cawangan restoran baharu di Kelantan sehingga tahun depan.

Pengarah Urusan dan Rakan Operasi Tempatan McDonald's Malaysia, Datuk Azmir Jaafar, berkata dua restoran baharu akan dibuka pada tahun ini manakala bakinya dijangka dibuka pada tahun depan.

"Insya-Allah, sebuah restoran baharu akan dibuka pada minggu depan di Troika, Kota Bharu dan sebuah lagi restoran baharu akan dibuka sebelum akhir tahun ini di Hentian Rehat dan Rawat (RnR) Gua Musang.

"Tiga lagi tempat telah dikenal pasti termasuk masing-masing di Pasir Puteh dan Tumpat, insya-Allah akan dibuka pada tahun depan," katanya pada sidang media, hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pembayaran Zakat Korporat McDonald's Malaysia kepada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) dan Sumbangan Qurban di sini.

Mengulas lanjut, Azmir berkata, McDonald's Malaysia mempunyai rancangan jangka panjang untuk membuka 20 restoran baharu di Kelantan dalam tempoh lima tahun.

"Setiap restoran memerlukan 100 tenaga kerja. Oleh itu, dengan 20 restoran kita boleh mengadakan (menawarkan) lebih 2,000 peluang pekerjaan baharu kepada anak-anak tempatan, 100 peratus anak-anak tempatan kerana kita tidak mengambil pekerja asing," katanya.

McDonald's Malaysia hari ini membayar zakat korporat berjumlah RM200,000 kepada MAIK.

Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz menerima bayaran zakat korporat itu yang diserahkan oleh Azmir.

Pada majlis diadakan di McDonald's Kubang Kerian, McDonald's Malaysia turut mengagihkan daging korban dan sumbangan duit raya kepada 20 wakil asnaf yang diraikan pada majlis berkenaan.

Azmir berkata pembayaran zakat korporat itu adalah nilai tertinggi yang pernah dibayar kepada Kelantan sejak McDonald's Malaysia mula membayar zakat korporat pada 2017, apabila diambil alih Lionhorn Pte Ltd, sebuah anak syarikat Kumpulan Reza dari Arab Saudi.

"Selain pembayaran zakat korporat, McDonald's Malaysia turut menyumbangkan 22 ekor lembu bagi ibadah korban tahun ini di beberapa negeri. Daripada jumlah itu 12 ekor adalah khusus bagi Kelantan, terbanyak setakat ini dan pembahagian daging diagihkan kepada golongan asnaf yang telah dikenal pasti oleh MAIK.

"Insya-Allah setiap tahun dengan lebih banyak restoran dibuka, kita juga meningkatkan (pembayaran) zakat kita melalui hasil perniagaan dan juga (melaksanakan) ibadah korban dan pemberian makanan sewaktu moreh di masjid-masjid terbabit pada bulan puasa," katanya.

Mengulas lanjut, Azmir berkata McDonald's Malaysia melaksanakan banyak aktiviti kemasyarakatan setiap tahun di Kelantan, termasuk oleh Persatuan Kebajikan Ronald McDonald (RMHC) Malaysia.

"Di Kelantan, RMHC Malaysia menjalin kerjasama dengan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian untuk membuka Rumah Ronald McDonald sejak tiga tahun lalu.

"Rumah Ronald McDonald memiliki 20 bilik dan ibu bapa mereka (pesakit) boleh menginap di situ dengan hanya membayar RM5 semalam dengan fasiliti lengkap seperti dapur, bilik air, ruang makan, surau dan sebagainya semasa menjaga anak-anak mereka yang menjalani kimoterapi contohnya," katanya.

Sebagai rekod, sehingga tahun ini, McDonald's Malaysia telah membayar RM9.85 juta zakat perniagaan sejak syarikat membayar zakat enam tahun lalu.

Sementara itu, seorang penerima sumbangan, Sei Theng Abdullah, 60, dari Wakaf Bharu, Tumpat bersyukur terpilih untuk menerima daging korban dan sumbangan duit raya.

"Terima kasih kepada McDonald's Malaysia yang memberi sumbangan ini, sedikit sebanyak dapat kurangkan beban keluarga saya," kata bapa kepada tiga cahaya mata yang memeluk Islam sejak 1993 itu.

Berita Harian X