Jumaat, 8 Julai 2022 | 7:40pm
Pengarah Eksekutif MGRC Azri Azerai.
Pengarah Eksekutif MGRC Azri Azerai.

MGRC cadang laksana penempatan persendirian saham

PETALING JAYA: Malaysian Genomics Resource Centre Berhad (MGRC), bercadang untuk melaksanakan penempatan persendirian sehingga 10 peratus.

Pakar genomik dan biofarmaseutikal terkemuka tempatan itu berkata, penempatan persendirian itu akan diterbitkan daripada jumlah saham terbitannya atau sehingga 12.42 juta saham penempatan baharu pada harga terbitan yang akan ditentukan untuk pelabur pihak ketiga yang akan dikenal pasti kemudian.

"Pemegang saham telah meluluskan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) pada 30 November 2021 untuk Kumpulan menerbitkan dan memperuntukkan saham baharu pada bila-bila masa dan pada harga yang dianggap sesuai oleh Lembaga Pengarah dengan syarat bilangan saham baharu tidak melebihi 10 peratus daripada jumlah bilangan saham yang diterbitkan," kata Pengarah Eksekutif MGRC Azri Azerai.

Mengulas lanjut katanya, saham penempatan baharu akan mendapat kedudukan yang sama dalam semua aspek dengan saham MGRV sedia ada kecuali ia tidak akan berhak mendapat sebarang dividen, hak, peruntukan dan sebarang bentuk pengagihan lain sekiranya tarikh kelayakan mendahului tarikh peruntukan dan pengeluaran penempatan baharu yang berkaitan saham.

"Kami mencadangkan penempatan persendirian untuk mengumpul dana terutamanya untuk pelaburan masa depan Kumpulan yang mana kami masih meneroka pilihan dan sebahagian daripada hasil akan diperuntukkan untuk pembelian peralatan termasuk Perkakasan IT, kabinet keselamatan biologi dan automasi pengekstrakan untuk perniagaan sedia ada dan akan datang kami." katanya.

Tambah beliau pembukaan semula ekonomi memberi peluang dalam segmen penjagaan kesihatan swasta dan dana baharu yang diperoleh akan membolehkan MGRC memanfaatkan kemungkinan itu.

"Kami mempelbagaikan perniagaan biofarmaseutikal pada tahun 2020 dan sejak itu telah mendorong untuk membuka saluran bagi terapi sel dan ujian genetik kami melalui satu siri perjanjian yang memberi kami jangkauan pasaran yang lebih luas. Kami juga membeli 51 peratus kepentingan dalam syarikat pengendali dialisis buah pinggang, Aquahealth Sdn Bhd, untuk menawarkan penjagaan buah pinggang holistik." kata Azrai.

Berita Harian X