Rabu, 29 Jun 2022 | 4:48pm
Pengarah Urusan dan Ketua Negara Nomura Asset Management Malaysia, Leslie Yap.
Pengarah Urusan dan Ketua Negara Nomura Asset Management Malaysia, Leslie Yap.

Nomura lancar dana syariah ESG global pertama

KUALA LUMPUR: Nomura Asset Management Malaysia Sdn Bhd,  menyasarkan mencapai RM50 juta aset di bawah pengurusan (AUM) dalam tempoh dua tahun bagi dana berlandaskan Syariah berkaitan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) pertamanya, Nomura Global Shariah Sustainable Equity Fund.

Dana yang dilancarkan unit pengurusan dana  Nomura Holdings Inc bagi Malaysia itu adalah untuk meningkatkan akses pelabur tempatan serta memenuhi permintaan meningkat pelaburan yang memberi impak kepada semua pihak.

Dana patuh Syariah itu ditawarkan bagi pasaran Malaysia bermula hari ini dengan minimum pelaburan awal RM1,000 dan AS$1,000.

Pengarah Urusan dan Ketua Negara Nomura Asset Management Malaysia, Leslie Yap, berkata matlamat tawaran dana itu adalah untuk memberi lebih peluang dan cara untuk melabur mengikut prinsip pelanggan, mencapai matlamat pelaburan mereka dan menjana impak positif.

"Kami percaya kami boleh berbuat demikian dengan menyediakan nilai jangka panjang dengan penyelesaian kualiti yang menggabungkan ESG dan prinsip syariah.

"Kami melancarkan dana ini bagi memenuhi permintaan untuk dana Syariah berkaitan ESG. Terdapat minat ditunjukkan terutama dari pelabur institusi membabitkan pelaburan ESG berlandaskan syariah," katanya pada pelancaran dana itu di sini, hari ini.

Yap berkata, pihaknya optimis sasaran RM50 juta AUM untuk dana itu mampu dicapai.

Beliau berkata, pihaknya akan melabur dalam syarikat senaraian awam global yang terbabit dalam ESG.

Nomura Asset Management Malaysia menjalin kerjasama dengan Sun Life Malaysia Takaful Bhd, syarikat takaful keluarga Sun Life Malaysia untuk menyediakan pelanggan dengan pilihan besar untuk memasukkan faktor ESG dalam keputusan pelaburan mereka.

Jumlah AUM Nomura Asset Management di Malaysia berada pada paras RM29 bilion setakat 31 Mei 2022.

Berita Harian X