Selasa, 28 Jun 2022 | 10:44am
Tenaga Nasional Bhd (TNB)
Tenaga Nasional Bhd (TNB)

TNB perlu pelbagaikan sumber gas, arang batu

KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) digesa untuk terus mempelbagaikan sumber gas dan arang batu bagi mengekalkan aliran tunainya dalam persekitaran kenaikan mendadak harga bahan api serta kos penjanaan elektrik, kata penganalisis.

Malah, TNB juga perlu menumpukan sumber tenaga boleh baharu seperti solar, hidro dan biobahan api dalam tempoh jangka panjang, kata Penganalisis Ekonomi Putra Business School Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Ahmed Razman Abdul Latif.

"Saya yakin TNB sudah memulakan usaha untuk melabur dalam tenaga boleh baharu, terutama yang menyediakan peluang pertumbuhan baharu.

"Ini jelas terbukti dalam pelan strategiknya bagi tempoh 30 tahun dengan sasaran 2025 bagi mewujudkan skala penjanaan tenaga boleh baharu dan meningkatkan kecekapan loji terma yang seterusnya mencapai pelepasan karbon sifar bersih serta bebas arang batu menjelang 2025," katanya kepada Bernama.

Ahmed Razman berkata, TNB juga pada masa ini telah mengambil alih beberapa syarikat tenaga boleh baharu dan mula memberi tumpuan ke atas hidrogen hijau selain pengeluaran tenaga berteraskan solar dan hidro.

Menurutnya, walaupun ini satu strategi baik, ia sebaliknya mengambil tempoh lama untuk memberi impak besar kerana TNB memerlukan masa bagi menggantikan loji penjanaan berasaskan arang batu dan gas yang memakan modal perbelanjaan yang tinggi.

Sementara itu, Profesor Penyelidikan dan Inovasi Malaysia University of Science and Technology (MUST), Profesor Geoffrey Williams, berkata TNB mempunyai strategi tenaga boleh baharu yang jelas tetapi perkembangannya agak perlahan akibat aspek ketersediaan teknologi serta kos berkaitan.

"Ada kemungkinan pergantungan terhadap arang batu dan gas ini akan terus wujud sekitar 70 peratus walaupun bagi tempoh 20 tahun akan datang.

"TNB sebaliknya boleh dan sedang melabur dalam peluang bekalan bagi baki 30 peratus, tetapi jika ini meningkat sekali pun, ia masih minoriti dalam perniagaan itu," katanya.

Menurutnya, laporan tahunan TNB pada 2020 menunjukkan lebih daripada 95 peratus penjanaan tenaga TNB adalah bersumberkan arang batu dan gas.

"Ini bukan sahaja buruk untuk alam sekitar, tetapi turut menyebabkan kos yang tinggi berikutan lonjakan harga minyak dan gas yang ketara.

"Masalahnya, sumber tenaga boleh baharu ini pula tidak dapat mengatasinya dengan pantas kerana penjanaan tenaga itu sendiri adalah satu pelaburan jangka panjang," katanya.

Williams berkata, selain daripada pelaburan dalam alternatif bekalan gas dan arang batu, TNB juga perlu memberi tumpuan terhadap permintaan penggunaan meter pintar dan analisis data untuk memahami permintaan secara lebih tepat.

Ini, katanya, dapat meningkatkan profil bekalan dan kos bagi memaksimumkan keuntungan selain mengurangkan aspek sisa.

"Usaha itu dapat dijalankan menerusi (memanfaatkan) permintaan perniagaan dan isi rumah. Ia juga lebih kepada persoalan untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan bagi memaksimumkan keuntungan," katanya.

Menurut Ahmed Razman, penjanaan tenaga negara banyak bergantung kepada arang batu iaitu 59.2 peratus, manakala gas 34.3 peratus, yang ketika ini tertakluk kepada harga yang sangat meningkat, terutama arang batu.

"Peningkatan harga yang berterusan, pada akhirnya, akan menyebabkan surcaj yang tinggi pada masa akan datang.

"Bagaimanapun, dengan berlatarbelakangkan harga arang batu yang tinggi, ICPT perlu dikekalkan, memandangkan pada masa ini, pelaksanaan mekanisme Peraturan Berasaskan Insentif (IBR) berserta ICPT enam bulan mewujudkan ketelusan dan kepastian mengenai penetapan tarif elektrik yang menyumbang kepada kecekapan.

"Ini telah terbukti di mana jaminan bekalan kita berada pada paras yang sama seperti United Kingdom dan Perancis, malah kita antara yang mempunyai tarif terendah di rantau ini," katanya.

Bagaimanapun, bagi mengurangkan kesan Mekanisme Pelepasan Kos Tidak Seimbang (ICPT), sektor elektrik di Malaysia perlu mengurangkan kebergantungan kepada bekalan arang batu, katanya.

"Saya yakin TNB akan komited dengan pelan jangka panjangnya untuk mengurangkan kebergantungan terhadap bekalan arang batu.

"Pada dasarnya, mereka komited kepada pertumbuhan penjanaan boleh baharu yang ketara dan pengurangan kapasiti penjanaan arang batu sebanyak 50 peratus menjelang 2035, dan pada akhirnya, sifar bersih dan bebas arang batu menjelang 2050.

"Oleh itu, bagi mencapai sifar bersih, TNB perlu memesatkan pelaburan dalam teknologi hijau sedang pesat membangun (contohnya hidrogen hijau) apabila ia berdaya maju dari segi ekonomi," katanya.

Sementara itu, Williams berpendapat skim ICPT itu perlu disemak semula bagi memastikan ia masih wajar.

Dari satu aspek, ia membantu meredakan turun naik harga, bagaimanapun di sudut lain pula, ia akhirnya menyebabkan pelepasan (mekanisme ICPT) itu.

"Kami menganggarkan kenaikan tarif pada awal tahun ini meningkatkan kira-kira 0.5 peratus kepada inflasi.

"Justeru, perlu diingat bahawa harga utiliti ini turut melalui paras harga umum dan tekanan inflasi. Jadi, ini turut perlu disemak semula untuk mendapat penyelesaian yang baik," katanya.

Beliau berkata, sistem Penentuan Harga Berperingkat di TNB membantu dari segi menyasarkan pengurangan tarif untuk pengguna dengan volum lebih rendah, namun ini mungkin boleh disemak semula untuk menjadikannya lebih cekap dalam menyasarkan bantuan kepada isi rumah dan perniagaan yang amat memerlukan.

-BERNAMA

Berita Harian X