Rabu, 15 Jun 2022 | 7:50pm

Maxis bentuk perikatan 5G terbesar

KUALA LUMPUR: Maxis Bhd membentuk jalinan kerjasama 5G terbesar di Malaysia bertujuan mempercepatkan penemuan teknologi dan penyelesaian perusahaan Internet Kebendaaan (IoT).

Jalinan yang dikenali sebagai 5G Alliance Maxis itu dianggotai oleh 16 syarikat iaitu Advantech, Amdocs, CrescoNet, Cisco, Google Cloud, GSMA (Komuniti Industry 5G APAC), Huawei, LLVision, Microsoft, MIMOS, Motorola Solutions, NEC, Omron, Realwear, SAS dan Vodafone.

Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus, berkata kumpulan komited untuk memainkan peranan penting dalam menyokong hasrat digital negara.

Beliau berkata, jalinan itu bakal mencipta, mengkomersialkan dan menskalakan kes penggunaan 5G dan penyelesaian inovatif rentas industri untuk memacu transformasi digital serta inovasi.

"5G akan membawa faedah menarik kepada individu, perniagaan dan kerajaan dalam memperkukuh daya saing Malaysia di rantau ini.

"Di Maxis, kami komited untuk memupuk dan melabur dalam inovasi negara, dan berbesar hati dengan rakan kongsi kami yang bekerjasama untuk berkembang dan memanfaatkan ekosistem simbiotik untuk membuka nilai lumayan teknologi IR4.0 seperti IoT, Awan, Pengkomputeran Tepi, VR dan AR," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

McManus berkata, jalinan dengan rakan kerjasama Maxis itu merangkumi tiga aliran iaitu rakan kongsi teknologi dan industri, inovator serta rakan kongsi pelanggan strategik.

Beliau berkata, melalui rakan kongsi berbilang kepakaran, pelanggan dapat meraih pelbagai manfaataat daripada rangkaian itu.

Katanya, MIMOS akan menyediakan akses kepada Hab Inovasi 5G dan AI untuk membangunkan dan menguji kes penggunaan, manakala Maxis akan menyediakan perjalanan pengalaman dengan mempamerkan kes penggunaan di Pusat Inovasi Perniagaan Maxis (MBIC) bertaraf dunia yang baru dilancarkan.

Melalui kerjasama dengan Hewlett Packard Enterprise (HPE) pula, Maxis menjemput perusahaan untuk cuba kes penggunaan Pengkomputeran Tepi Berbilang-akses.

Manakala GSMA katanya akan memudahkan pemindahan pengetahuan dan latihan melalui Forum Suku Tahunan dan cerapan 5G.

"Semua penyelesaian dan kes penggunaan akan dikuasakan oleh Maxis Programmable Network, sebuah rangkaian maju program perisisan diiktiraf di Malaysia.

"Maxis juga akan menyediakan rangkaian luas penyelesaian ICT tertumpunya yang memenuhi spektrum penuh keperluan perniagaan yang disokong sepenuhnya dengan kepakaran yang betul melalui perkhidmatan profesional dan terurus," katanya.

Berita Harian X