Rabu, 8 Jun 2022 | 3:05pm
Pengerusi Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook (empat dari kiri) pada majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, hari ini - Foto ihsan LGMS
Pengerusi Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook (empat dari kiri) pada majlis penyenaraian syarikat itu di Bursa Malaysia, hari ini - Foto ihsan LGMS

LGMS mulakan dagangan di Bursa Malaysia

KUALA LUMPUR: LGMS Bhd muncul antara saham paling cergas diniagakan di Bursa Malaysia dalam dagangan awal hari ini, susulan kemunculan pertamanya di Pasaran ACE.

Pada harga 50 sen sesaham, tawaran awam permulaan (IPO) penyedia perkhidmatan keselamatan siber itu menjana RM45.7 juta daripada penyenaraiannya di pasaran saham tempatan.

Bahagian awam daripada IPO kumpulan itu juga terlebih langganan sebanyak 25.39 kali.

Pengerusi Eksekutif LGMS, Fong Choong Fook, berkata sambutan positif itu mencerminkan minat dan keyakinan pasaran yang sihat terhadap model perniagaan dan prospek pertumbuhan siber sekuriti di Malaysia.

Beliau berkata, dengan latar belakang permintaan yang semakin meningkat untuk barangan dan perkhidmatan digital serta gangguan digital, landskap ancaman digital dijangka meningkat seiring dengan perkembangan ekonomi ASEAN.

Ia, katanya membawa kepada permintaan yang berpotensi lebih tinggi untuk semua jenis perkhidmatan keselamatan siber dalam kedua-dua sektor awam dan swasta.

"Dengan jangkaan pertumbuhan permintaan keselamatan siber ini, lebih 80 peratus daripada IPO berjumlah RM38.2 juta akan digunakan ke arah pengembangan perniagaan.

"Ini termasuk pembelian pejabat baharu dengan ruang yang lebih besar, pengembangan tenaga kerja, perbelanjaan modal dan pengembangan wilayah strategik ke dalam pasaran yang berkembang pesat seperti Singapura, Vietnam dan Kemboja.

"Baki RM7.5 juta pula diperuntukkan untuk tujuan modal kerja dan pembayaran perbelanjaan penyenaraian," katanya.

Choong Fook berkata, tinjauan pasaran ketika ini juga kekal teguh untuk pasaran keselamatan siber di rantau ASEAN dengan saiz pasaran ASEAN diunjurkan berkembang daripada RM14.66 bilion pada 2021 kepada RM28.47 bilion pada 2026.

Beliau berkata, ini menjadikan keselamatan siber telah menjadi penting dalam persekitaran dinamik pada hari ini, di mana syarikat mempercepatkan transformasi digital serta perniagaan bergantung kepada teknologi untuk berfungsi dan berkembang maju.

Justeru, katanya setelah mewujudkan kehadiran kukuh di Malaysia dan dengan hasil IPO, kumpulan kini mengembangkan kehadirannya di pasaran lain yang berkembang pesat di Asia Tenggara.

"Beberapa negara sudah dikenal pasti untuk membolehkan LGMS bertapak seperti di Singapura, Vietnam dan Kemboja," katanya.

Berita Harian X