Selasa, 7 Jun 2022 | 8:53pm
Dialog Group Bhd
Dialog Group Bhd

Dialog Group ambil alih Pan Orient Petroleum

KUALA LUMPUR: Dialog Group Bhd melalui anak syarikat milik penuhnya di Singapura, Dialog Systems (Asia) Pte Ltd memeterai perjanjian bersyarat dengan Pan Orient Energy Corp bagi memperoleh keseluruhan kepentingan ekuitinya pada harga tunai AS$38.7 juta.

Dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini, kumpulan itu berkata perjanjian ditandatangani di antara syarikat Kanada milik 100 peratus Dialog Systems, Alberta Ltd dan Pan Orient Energy.

"Setelah memuktamadkan cadangan pengambilalihan, Pan Orient Energy akan dinyahsenarai daripada TSX Venture Exchange Kanada dan Dialog Group akan memiliki 100 peratus kepentingan ekuiti dalam Pan Orient Petroleum Pte Ltd," katanya.

Pan Orient Petroleum, anak syarikat milik penuh Pan Orient Energy Singapura, turut memegang 50.01 peratus kepentingan ekuiti dalam Pan Orient Energy (Siam) Ltd, iaitu pengendali Konsesi L53/48, di daratan Thailand.

Dialog Group berkata, pembelian akan dibiayai melalui pembiayaan dalaman dan/atau pinjaman luar termasuk hasil daripada penerbitan sukuk.

Ia menambah bahawa cadangan pengambilalihan itu adalah usaha huluan pertamanya di luar Malaysia untuk lapangan pengeluaran minyak huluan yang matang, membuka jalan bagi kumpulan itu untuk meningkatkan lagi rantaian nilai dalam perniagaan huluan.

Cadangan pengambilalihan itu juga selaras dengan strategi kumpulan untuk terus mengembangkan dan mempelbagaikan perniagaan huluan, pertengahan, hiliran dan sektor tenaga boleh diperbaharui, sekali gus meningkatkan peluang untuk sinergi dalam kumpulan, tambahnya.

Jika tiada sebarang keadaan di luar jangka, Dialog Group berkata cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai menjelang suku ketiga 2022.

-BERNAMA

Berita Harian X