Khamis, 2 Jun 2022 | 1:58pm

Fortinet AS tambah pelaburan, perluas operasi di Malaysia

KUALA LUMPUR: Fortinet, peneraju global dalam penyelesaian keselamatan siber yang menyeluruh, bersepadu dan automatik meningkatkan pelaburan dan memperluas kehadirannya di Malaysia.

Menurutnya, ia mengukuhkan komitmen dengan kapasiti dan kemampuan untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada sektor awam, telekomunikasi, perkhidmatan kewangan serta pasaran perusahaan dan komersial.

Syarikat itu berpindah ke pejabat dua tingkat yang baharu di Kuala Lumpur yang akan menempatkan Pusat Taklimat Pelanggan (CBC) Fortinet yang terkini, katanya dalam kenyataan hari ini.

Bercakap ketika majlis perasmian pejabat itu di Equatorial Plaza, Pengurus Negara Fortinet Malaysia, Dickson Woo berkata kepantasan transformasi digital bagi organisasi di negara dan rantau ini memerlukan perkembangan yang seimbang atau lebih besar dalam keselamatan dan ancaman siber yang sentiasa berkembang dari segi kecanggihan dan kekerapan.

"Selain menumpukan kepada inovasi, Fortinet percaya, hanya dengan mengembangkan dan melatih semula kumpulan bakat, akan membolehkan kami melebihi jangkaan pelanggan, dan turut membolehkan sokongan pelanggan baharu daripada industri kritikal yang menggunakan teknologi untuk berkembang," katanya.

Beliau berkata Fortinet Malaysia akan terus melabur dalam pengambilan pekerja merentasi semua peranan utamanya termasuk jualan dan pemasaran, analisis maklumat-keselamatan, jurutera keselamatan aplikasi, dan pengurus pematuhan bagi menyokong kejuruteraan sistem yang semakin berkembang, pasukan bantuan teknikal serta Makmal FortiGuard terpaten di Malaysia.

Mengenai CBC, beliau berkata ia akan mempamerkan penyelesaian dan teknologi terkini Fortinet, selain melibatkan pelanggan dalam aplikasi keselamatan siber generasi akan datang, termasuk perkhidmatan, sebelum jualan dan sokongan aplikasi.

Beliau berkata, selain itu, Fortinet akan menubuhkan ruang latihan khas di pejabat baharu untuk melatih semula dan meningkatkan kemahiran pekerja dan profesional keselamatan siber yang berpotensi, bagi menangani kekurangan bakat siber di negara ini.

"Syarikat juga telah memberikan komitmen sumber kepada institusi pendidikan tempatan seperti Universiti Multimedia untuk membangunkan kumpulan bakat siber di Malaysia, menawarkan latihan dan pensijilan, sumber pertumbuhan karier dan peluang pengambilan pekerja untuk menjadikan kerjaya dalam keselamatan siber sebagai peluang kepada semua," katanya.

– Bernama

Berita Harian X