Isnin, 23 Mei 2022 | 11:20am
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin (kiri) dan Pengarah Urusan & Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Anne Leh memperkenalkan Akaun Kekayaan OCBC - Foto ihsan OCBC Bank
Ketua Pegawai Eksekutif OCBC Bank, Datuk Ong Eng Bin (kiri) dan Pengarah Urusan & Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Anne Leh memperkenalkan Akaun Kekayaan OCBC - Foto ihsan OCBC Bank

OCBC sedia khidmat persendirian pelanggan mewah

KUALA LUMPUR: Pelanggan Perbankan Premier OCBC Bank (Malaysia) Bhd (OCBC Bank) kini boleh memanfaatkan beberapa keupayaan perbankan persendirian menerusi Akaun Kekayaan OCBC yang baru diperkenalkan.

Platform ini menawarkan rangkaian produk lebih luas dan rangka kerja klasifikasi aset untuk pelanggan membina portfolio pelaburan mantap bagi memenuhi keperluan yang kian berubah.

Pengarah Urusan & Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Anne Leh, berkata platform pengurusan kekayaan ditambah baik itu membolehkan pelanggan mengurus dan menilai aliran tunai serta pulangan dengan cara yang lebih baik.

Beliau berkata, kemudahan itu disediakan menerusi Akaun Kekayaan OCBC yang meliputi satu atau lebih portfolio kekayaan terdiri daripada produk dan akaun semasa berbilang mata wang sebagai akaun penyelesaian bagi pelaburan yang dipegang.

Katanya, pendekatan ini menyediakan kaedah pengiraan prestasi portfolio yang lebih jelas untuk membantu pelanggan menjejak prestasi pelaburan masing-masing.

"Dengan Akaun Kekayaan OCBC, pelanggan kini boleh memanfaatkan

sepenuhnya peluang pasaran dengan mengoptimumkan kuasa pelaburan

menerusi penyelesaian kekayaan kami.

"Mereka hanya perlu mencagarkan portfolio mereka dengan kami untuk mendapatkan dana tambahan, tanpa perlu menambah tunai yang dicagarkan.

"Nilai cagaran di dalam portfolio kekayaan akan dikumpulkan secara automatik dan dilaburkan semula ke dalam rangkaian produk kekayaan kami atau dipelbagaikan dengan memanfaatkan peluang pelaburan penting," katanya dalam satu kenyataan.

Leh berkata, langkah memperkenalkan Akaun Kekayaan OCBC membezakan khidmat Perbankan Premier OCBC daripada perkhidmatan yang disediakan di seluruh negara.

"Kami mahu membina tawaran berlandaskan transformasi asas dan bersepadu dengan tumpuan untuk menyediakan pengalaman pelanggan

yang luar biasa, terutama bagi memenuhi keperluan pelanggan pelaburan yang semakin canggih serta mahu terbabit dan dimaklumkan mengenai prestasi portfolio pelaburan masing-masing.

"Di sini, keputusan boleh dibuat dengan lebih pantas, dibantu oleh kemudahan perbankan yang terlindung dan boleh dikendalikan dari jarak jauh,

berlandaskan strategi berbilang saluran," katanya.

Pada 2018, OCBC Bank memperkenalkan perkhidmatan peringkat atas tersendiri kepada pelanggan Perbankan Premier OCBC dengan pelancaran khidmat OCBC Premier Private Client bagi pelanggan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) sekurang-kurangnya RM3 juta.

Kemudahan ini menawarkan pelbagai manfaat, termasuk penyelesaian kekayaan menyeluruh, penyelesaian untuk memenuhi pilihan berbeza pelabur dan kemudahan mengakses penyelesaian perbankan terkhusus.

Berita Harian X