Isnin, 9 Mei 2022 | 11:58am
Standard Chartered Saadiq Bhd
Standard Chartered Saadiq Bhd

StanChart Saadiq bantu PKS Malaysia ke luar negara

KUALA LUMPUR: Standard Chartered Saadiq Bhd (StanChart Saadiq) memanfaatkan rangkaian global untuk membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) di Malaysia menembusi pasaran luar negara.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohd Suhaimi Abdul Hamid, berkata cabang kewangan Islam Standard Chartered Bank Malaysia Bhd itu melancarkan 'Halal360' pada 2020 untuk menyokong perniagaan tempatan berkembang dalam ekosistem halal global.

Beliau berkata, perkembangan perniagaan berkaitan produk dan perkhidmatan halal kini semakin meluas melangkaui produk makanan seperti farmaseutikal, penjagaan kesihatan, kosmetik, pakaian dan pendidikan.

Katanya, berdasarkan perangkaan, nilai pasaran halal yang mencecah angka trilion menawarkan peluang cerah untuk ditembusi syarikat Malaysia.

"Melalui rangkaian seluas 59 pasaran di peringkat global, kami mampu menyediakan akses kepada pelanggan kami menembusi

pasaran baharu.

"Di samping itu, ia membolehkan kami menjadi pemacu utama kepada peluang pemadanan perniagaan untuk perniagaan halal tempatan dalam mengembangkan perniagaan di peringkat global," katanya kepada BH.

Mohd Suhaimi berkata, Malaysia kekal pasaran penting bagi StanChart Saadiq dengan sasaran mahu menjadi bank Islam milikan asing terunggul di negara ini.

Beliau berkata, StanChart Saadiq akan terus memberi nilai tambah kepada pelanggannya merentasi segmen runcit, PKS dan korporat besar

dengan bidang tumpuan dalam pengurusan kekayaan, pendigitalan dan Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG).

Katanya, bank berlandaskan Syariah itu juga mahu mengembangkan asas pelanggan membabitkan Bumiputera terutama generasi muda yang menawarkan potensi pertumbuhan besar pada masa depan.

Mengenai prospek perbankan Islam, Mohd Suhaimi berkata, perbankan Islam akan berkembang pesat dan peluang adalah cerah untuk syarikat Malaysia berkembang dalam pasaran halal.

Beliau berkata, penularan pandemik meningkatkan kesedaran terhadap produk bersih dan selamat, elemen yang dimiliki oleh produk halal.

"Industri kewangan Islam di Malaysia dijangka berkembang kukuh menerusi sokongan kerajaan dengan menjadikan negara sebagai

pusat kewangan Islam serantau," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohd Suhaimi berkata, kumpulan perbankan itu amat menggalakkan pelanggan menggunakan platform secara dalam talian untuk berhubung dengan bank menerusi aplikasi yang dibangunkan untuk pelanggan runcit, PKS dan syarikat besar.

Beliau berkata, Skor Promoter Bersih (NPS) digital terus menunjukkan pertumbuhan yang stabil dengan menduduki tempat kedua teratas di Malaysia.

Katanya, Straight2Bank Pay pula adalah gerbang koleksi digital yang memenangi anugerah untuk pelanggan perniagaan bagi menyokong aspirasi e-dagang dan m-dagang yang kian meningkat.

"Kami adalah bank pertama yang menawarkan akses portal umum yang berkeupayaan untuk menjejaki semua pembayaran rentas

sempadan dilaksanakan melalui pusat penjelasan utama bank kepada pelanggannya, serta kepada pelanggan korporat dan runcit.

"Kami meningkatkan keupayaan pelanggan untuk menjejak status pembayaran, justeru memudahkan pergerakan barangan dan perkhidmatan serta pertumbuhan rantaian bekalan.

"Kami juga diiktiraf sebagai Bank Digital Islam Terbaik di Malaysia

2020 oleh Global Finance selama empat tahun berturut-turut sejak 2016," katanya.

Mohd Suhaimi berkata, StanChart Saadiq turut melabur kira-kira AS$1 bilion bagi memantapkan keupayaan pendigitalan kumpulan, membolehkan pelanggan kini tidak perlu ke cawangan untuk urusan perbankan.

Katanya, pendigitalan memberi ruang kepada bank untuk memberi nilai tambah kepada pelanggan seperti pembelian dana amanah dalam enam mata wang berbeza dan tukaran asing menerusi platform Live FX dalam aplikasi mudah alih.

Berita Harian X