Isnin, 9 Mei 2022 | 11:41am
Alliance Bank Bhd
Alliance Bank Bhd

Alliance Bank sasar tingkat urus niaga digital

KUALA LUMPUR: Alliance Bank Bhd menyasarkan memiliki lebih 50 peratus daripada jumlah transaksi perdagangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang dijalankan secara digital tahun ini.

Ketua Pegawai Kumpulan Perbankan Korporat dan Transaksi, Jeff Tham, berkata setakat ini, kira-kira 45 peratus daripada transaksi perdagangan PKS yang beroperasi dalam pelbagai sektor terutama pembuatan, pemborong dan runcit dilaksanakan menerusi maya.

"Sasaran ini dapat dicapai hasil pengenalan penyelesaian komprehensif kami iaitu BizSmart eTrade yang menjadi solusi yang cepat, ringkas dan mudah kerana kami faham bahawa proses penyerahan pembiayaan perdagangan tradisional biasanya mengambil masa yang lama," katanya kepada BH.

BizSmart eTrade yang diperkenalkan Alliance Bank pada Julai 2020 adalah sebuah platform penyerahan pembiayaan perdagangan mudah alih pertama di Malaysia.

Sejak pelancaran BizSmart eTrade, Alliance Bank dianugerahkan pelbagai pengiktirafan serantau dan tempatan termasuk Anugerah Asia Trailblazer 2021 untuk Kecemerlangan dalam Sentrisiti Pelanggan dan Anugerah Perbankan Runcit 2021 untuk Perbankan Mudah Alih & Inisiatif Pembayaran.

Mengulas lanjut, Tham berkata, pemilik perniagaan memerlukan dana dengan pantas untuk merebut peluang di pasaran.

"Melalui BizSmart eTrade, pemilik perniagaan menyerahkan 'Bankers Acceptance' atau 'Trust Receipt' pembiayaan secara digital melalui aplikasi BizSmart Mobile atau dalam talian.

"Ini boleh dibuat tanpa melawat mana-mana cawangan kami secara fizikal dan penyerahan boleh dilakukan pada bila-bila masa, di mana-mana saja.

"Pelanggan akan dimaklumkan mengenai status transaksi mereka melalui e-mel, SMS dan pemberitahuan tolak melalui aplikasi BizSmart Mobile.

"Hasil perdagangan yang diluluskan akan dikreditkan ke dalam akaun perniagaan dalam tempoh 24 jam selepas kelulusan pembiayaan," katanya.

Beliau menjelaskan, perkhidmatan kewangan lebih pantas penting untuk menyokong pertumbuhan perdagangan Malaysia yang semakin meningkat dengan pasaran lebih luas menanti PKS.

"Untuk mengambil tindakan yang tepat dan betul, perniagaan memerlukan maklumat yang betul dan dikemas kini. Ini akan membantu mereka mengurus modal kerja dan aliran tunai dengan lebih baik," katanya.

Berita Harian X