Jumaat, 6 Mei 2022 | 12:23pm
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab (kiri) serta Pengasas dan Ketua Pegawai Strategi Swimlane, Cody Cornell (dua dari kiri) pada majlis kerjasama strategik antara kedua-dua pihak
Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab (kiri) serta Pengasas dan Ketua Pegawai Strategi Swimlane, Cody Cornell (dua dari kiri) pada majlis kerjasama strategik antara kedua-dua pihak

Swimlane pilih KL jadi pangkalan serantau

KUALA LUMPUR: Swimlane, syarikat keselamatan siber dan awan berpangkalan di Colorado, Amerika Syarikat (AS) bakal membuka pangkalan serantaunya di Kuala Lumpur sebagai sebahagian daripada inisiatif strategik dengan CyberSecurity Malaysia bagi memperkukuhkan ekosistem siber serantau.

Pengasas dan Ketua Pegawai Strategi Swimlane, Cody Cornell, berkata pemilihan Kuala Lumpur sebagai pangkalan serantau adalah berdasarkan keteguhan ekonomi Malaysia dan prasarana lengkap bertaraf dunia, rakan kerjasama yang berpengalaman dan mahir serta kewujudan tenaga kerja yang mahir dalam pelbagai bahasa.

Beliau berkata, Malaysia turut menyediakan peluang perniagaan yang besar, terutama bagi firma global yang ingin memperkenalkan penyelesaian ke Asia Pasifik.

"Hari ini, setiap syarikat adalah firma teknologi. Pada masa yang sama, soal keselamatan memberi kesan yang amat besar kepada perniagaan dan keuntungan, menjadikan keselamatan siber satu faktor penting.

"Pengembangan ke Asia Pasifik bermatlamat untuk menggunakan teknologi kami dan membolehkan sesiapa sahaja daripada mana-mana organisasi untuk sama-sama menyumbang pengetahuan dan kepakaran ke arah perlindungan, di samping mengurangkan kerja dan kos pemilikan dalam mencapai matlamat keselamatan yang sebelum ini dianggap mustahil," katanya dalam satu kenyataan.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif CyberSecurity Malaysia, Datuk Dr Amirudin Abdul Wahab, berkata kerjasama strategik dengan Swimlane ini adalah tepat pada masanya bagi membantu mengukuhkan dan meluaskan visi keselamatan siber strategik di rantau ini.

Katanya, Swimlane dan Cybersecurity Malaysia akan menyumbangkan pengetahuan, kepakaran, kebolehan serta produk masing-masing bagi menawarkan penyelesaian keselamatan siber inovatif di Malaysia dan negara serantau.

"Sebagai pusat keselamatan siber dan teknikal negara, CyberSecurity Malaysia mengalu-alukan kerjasama seperti ini kerana ia turut akan membawa teknologi maju, kebolehan dan kapasiti kepada Malaysia dalam memastikan persekitaran siber kita kukuh, selamat dan boleh dipercayai," katanya.

Sebagai sebahagian daripada kerjasama strategik ini, Swimlane dan CyberSecurity Malaysia mengenal pasti tiga inisiatif utama iaitu memacu kesedaran mengenai cara automasi operasi keselamatan, pembangunan kemahiran dalam negara serta pengenalan teknologi untuk membantu rakan kongsi sedia ada dan baharu.

Berita Harian X