KUALA LUMPUR: AEON Credit Service (M) Bhd dan rakan konsortiumn yang menerima lesen bank digital Islam daripada Kementerian Kewangan (MOF), menyasar untuk beroperasi dalam tempoh 24 bulan daripada tarikh kelulusan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, AEON Credit berkata konsortium tiga pihak yang terdiri daripada AEON Credit, AEON Financial Service Co., Ltd (AFS) dan MoneyLion Inc (MLI), masing-masing akan mempunyai 45:45:10 peratus kepentingan dalam bank Islam digital yang dicadangkan itu.
MLI yang diperbadankan di Delaware, Amerika Syarikat (AS) telah disenaraikan di Bursa Saham New York sejak September 2021. Aktiviti utamanya ialah perbankan mudah alih di platform keahlian kewangan dan menawarkan penyelesaian perbankan, peminjaman dan pelaburan kepada pelanggannya di AS.
Seperti ditetapkan dalam Rangka Kerja Pelesenan Bank Digital yang dikeluarkan Bank Negara Malaysia (BNM), bank digital Islam itu perlu beroperasi dalam had aset RM3 bilion dan mengekalkan dana modal minimum sebanyak RM100 juta tidak terjejas oleh kerugian semasa fasa asas.
Menurut kenyataan itu, operasi permulaan tertakluk kepada kajian semula kesediaan operasi oleh BNM.
AEON Credit berkata cadangan usaha sama itu dijangka tidak memberi sebarang kesan kewangan dan operasi penting ke atas keputusan disatukan AEON Credit bagi tahun kewangan berakhir 28 Feb, 2022.
"Maklumat selanjutnya akan diumumkan sebaik sahaja perjanjian berkaitan dimuktamadkan dan dilaksanakan. Syarikat juga akan mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pemegang saham berhubung urus niaga pihak berkaitan bagi cadangan usaha sama itu," katanya.
Pada Jumaat, BNM mengumumkan lima konsortium yang berjaya mendapatkan lesen bank digital Malaysia iaitu Boost Holdings Bhd-RHB Bank Bhd, GXS Bank Pte Ltd-Kuok Brothers Sdn Bhd, Sea Ltd-YTL Digital Capital Sdn Bhd, AEON Financial Service Co Ltd-AEON Credit Service (M) Bhd-MoneyLion Inc dan KAF Investment Bank Sdn Bhd.
Menurutnya Boost-RHB Bank, GXS Bank-Kuok Brothers dan Sea Ltd-YTL Digital Capital dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (APK), manakala konsortium AEON Financial Service-AEON Credit-MoneyLion dan KAF Investment Bank dilesenkan di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 (APKI).
– Bernama