KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd (TNB), Allo Technology Sdn Bhd (Allo) dinobatkan sebagai Syarikat Telekomunikasi Jalur Lebar Terbaik Malaysia pada Anugerah Telekom Asia 2022 yang diadakan secara maya pada Mac lalu.
Syarikat itu berkata, anugerah berkenaan pengiktirafan kepada usaha responsifnya dalam merapatkan jurang digital di negara ini.
Allo menyediakan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi yang menyokong inisiatif Jalinan Digital Nasional (JENDELA) dengan merapatkan jurang digital dan menyasar untuk mempunyai 7.5 juta pas premis optik gentian menjelang hujung tahun ini.
Ia juga menyediakan kesalinghubungan jalur lebar pada kadar berpatutan, sekali gus membuka peluang kepada golongan yang kurang mendapat perkhidmatan dalam komuniti di kawasan pinggir bandar dan luar bandar.
"Dengan memanfaatkan rangkaian optik gentian TNB di Semenanjung Malaysia, Allo juga bekerjasama rapat dengan pelbagai Penyedia Perkhidmatan Runcit (RSP) untuk menyediakan jalur lebar berkelajuan tinggi (HSBB) pada kadar yang lebih pantas dan harga berpatutan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan," kata Ketua Pegawai Eksekutifnya, Mohamed Ghous Ahmad dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, usaha itu akan merapatkan jurang digital dan memperkasakan rakyat di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan menerusi pelbagai aspek seperti pembangunan ekonomi digital, pendidikan dan pembangunan komuniti.
Menerusi kerjasama rapat dengan penyedia perkhidmatan runcit, Allo akan mengisi kekosongan dengan menyediakan akses optik gentian ke seberapa banyak tempat yang mungkin, katanya.
Pada masa ini, Allo menyelesaikan lebih 180,000 pas premis di Melaka, Perak, Kedah, Pulau Pinang, Selangor, Kuala Lumpur dan Johor dan menyasar mencapai 300,000 pas premis pada akhir tahun ini.
Allo juga menjalin kerjasama strategik dengan tujuh penyedia perkhidmatan runcit iaitu Maxis, Astro, Digi, Celcom, U Mobile, Freshtel dan Redtone,
Ia berharap dapat bekerjasama dengan lebih banyak penyedia lain bagi memudahkan kesalinghubungan di kawasan yang kurang mendapat perkhidmatan.
Program Anugerah Telekom Asia, yang dianjurkan oleh Asian Business Review memberi penghargaan kepada syarikat telekomunikasi utama yang mempelopori produk dan penyelesaian inovatif yang menonjol dan mempamerkan daya tahan meskipun pelbagai cabaran pasaran pada tahun lalu.
-BERNAMA