Khamis, 14 April 2022 | 12:03pm
CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB)
CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB)

CIMB perkukuh tawaran untuk pelanggan mewah

KUALA LUMPUR: CIMB Bank Bhd dan CIMB Islamic Bank Bhd (CIMB) mengukuhkan lagi tawarannya untuk pelanggan baru muncul dan mewah di seluruh rantau ASEAN dengan pendekatan yang melangkaui penyelesaian kekayaan menerusi perkhidmatan CIMB Preferred.

CIMB dalam satu kenyataan berkata, CIMB Preferred memperkukuh nilai teras pengiktirafan ASEAN, menawarkan keistimewaan eksklusif dan kadar keutamaan merentasi pelbagai produk, selain penyelesaian kekayaan dan pelaburan holistik termasuk akses kepada pelbagai jenis pelaburan konvensional dan Islam serta tawaran bankasurans dan bankatakaful.

Ia berkata, ia menggandakan usahanya dalam menyediakan perkhidmatan terbaik dalam kelasnya dan penyelesaian yang diperibadikan untuk memenuhi keperluan yang berubah-ubah bagi segmen ASEAN yang sedang pesat membangun dan mewah.

Katanya, ebagai sebuah bank ASEAN, CIMB berada pada kedudukan yang baik untuk memberikan pengiktirafan serantau dan keistimewaan kepada pelanggan CIMB Preferred, memastikan kebolehcapaian yang lancar dan layanan keutamaan di lebih 140 Pusat Preferred CIMB di seluruh rantau.

"Ini termasuk akses kepada Kadar Keutamaan Pilihan CIMB, yang menawarkan pelanggan kadar pembiayaan, pelaburan, produk bankasurans dan produk bancatakaful yang menarik, serta portfolio diperibadikan yang disokong oleh pemahaman untuk membantu pelanggan mencapai matlamat kewangan.

"Jumlah pasaran kekayaan ASEAN sudah pun menjana pendapatan tahunan sekitar RM40 bilion. Ia dijangka berkembang pesat antara 2020 hingga 2025, dengan unjuran kadar pertumbuhan tahunan terkompaun (CAGR) melebihi 13 peratus.

"Selaras dengan pertumbuhan kukuh dalam pasaran ini, CIMB menyasarkan untuk menggandakan aset di bawah pengurusan (AUM) di bawah segmen Preferred menjelang 2025," katanya.

Ketua Pegawai Eksekutif, Perbankan Pengguna Kumpulan, Kumpulan CIMB, Samir Gupta, berkata ketika kategori baharu individu dan keluarga yang kaya muncul dengan keperluan dan harapan berbeza, pihaknya telah menilai semula pendekatan kekayaan tradisional kepada pembahagian pelanggan dan menyelaraskan semula CIMB Preferred untuk memberi perkhidmatan yang lebih baik kepada pelanggan rantau ASEAN.

"Melalui CIMB Preferred, kami berhasrat untuk menjadi bank pilihan pelanggan baru muncul dan mewah di rantau ini dengan menyediakan khidmat nasihat yang boleh dipercayai dan pengalaman yang berbeza, disokong oleh francais ASEAN yang kukuh.

"Cadangan kami akan menyokong pertumbuhan keseluruhan aspirasi perniagaan mewah CIMB, yang kami kenal pasti sebagai bidang tumpuan utama di bawah Pelan Strategik Forward23+," katanya.

Berita Harian X