Selasa, 5 April 2022 | 6:42pm
Tenaga Nasional Bhd (TNB)
Tenaga Nasional Bhd (TNB)

Anak syarikat TNB kemuka sukuk wakalah RM10 bilion

KUALA LUMPUR: Anak syarikat Tenaga Nasional Bhd (TNB), TNB Power Generation Sdn Bhd (TPGSB) mengemukakan Program Sukuk Wakalah bernilai sehingga RM10 bilion kepada Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC).

TNB dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini berkata, Program Sukuk Wakalah itu akan memberikan TPGSB fleksibiliti untuk menentukan masa pelaksanaan penjanaan dana dengan nilai nominal dan tempoh yang berbeza-beza bagi padanan aset-liabiliti yang optimum.

"Program Sukuk Wakalah itu akan mempunyai tempoh 30 tahun daripada tarikh terbitan pertama Sukuk Wakalah di bawah Program Sukuk Wakalah yang akan dibuat dalam masa 90 hari perniagaan daripada tarikh pengemukaan kepada SC (atau tarikh lanjutan lain yang diluluskan oleh SC).

"Tempoh setiap Sukuk Wakalah yang akan diterbitkan di bawah Program Sukuk Wakalah adalah antara satu tahun dan sehingga 30 tahun, dengan syarat tiada Sukuk Wakalah akan matang selepas tamat tempoh Program Sukuk Wakalah," katanya.

TNB berkata, program itu juga akan membolehkan TPGSB mengakses kumpulan pelabur yang pelbagai dalam pasaran modal dan membiayai projek yang layak yang memenuhi kriteria ditetapkan dalam Rangka Kerja Sukuk Kelestarian TPGSB, dalam menyokong aspirasi TNB ke arah pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

CIMB Investment Bank Bhd dan Maybank Investment Bank Bhd adalah penasihat prinsipal bersama, penyusun utama bersama dan penasihat rangka kerja kelestarian bersama bagi terbitan pertama Sukuk Wakalah yang akan diterbitkan di bawah Program Sukuk Wakalah.

Sementara itu, CIMB Islamic Bank Bhd dan Maybank Islamic Bhd adalah penasihat Syariah bersama bagi Program Sukuk Wakalah.

-BERNAMA

Berita Harian X