Khamis, 17 March 2022 | 8:13pm
Lulu akan memilih syarikat yang mempunyai kapasiti untuk mengeksport dan mengeluarkan produk berasaskan sawit - Foto hiasan
Lulu akan memilih syarikat yang mempunyai kapasiti untuk mengeksport dan mengeluarkan produk berasaskan sawit - Foto hiasan

Lulu bantu syarikat sawit Malaysia tembusi UAE

KUALA LUMPUR: Konglomerat Lulu Group International akan melakukan saringan serta memilih beberapa syarikat yang mempunyai pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO) bagi membantu pengusaha terbabit memperluas pasaran ke Emiriah Arab Bersatu (UAE) selain menembusi pasaran negara lain termasuk India.

Ini susulan pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) antara Majlis Minyak Sawit Malaysia (MPOC) dengan Lulu Group pada acara Ekspo 2020 Dubai baru-baru ini, serta Misi Perdagangan dan Pelaburan yang diketuai oleh Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali pada tahun lalu.

"Daripada sejumlah 43 syarikat berasaskan minyak sawit yang memaparkan produk masing-masing pada hari ini, Lulu yang juga pengendali rangkaian pasar raya besar dan runcit, akan memilih beberapa syarikat yang mempunyai MSPO dan kapasiti sedia ada untuk mengeksport, mengeluarkan produk seperti minyak masak, kosmetik, minuman, makan sejuk beku, farmaesutikal dan konfeksioneri," kata Ketua Pegawai Eksekutif MPOC, Wan Aishah Wan Hamid kepada Bernama hari ini.

Syarikat-syarikat terpilih itu adalah tambahan kepada enam pengeluar tempatan sedia ada yang menjadi pembekal untuk Lulu Hypermarket di Silicon Oasis, Dubai di bawah kempen 'Minyak Sawit Malaysia Penuh Dengan Kebaikan' pada Februari-April 2022.

MPOC menerusi kerjasama dengan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE), menganjurkan program penyumberan berkenaan bagi produk-produk berasaskan minyak sawit.

"Kami yakin kerjasama ini dapat membantu pengusaha mengembangkan kehadiran mereka, mempromosi dan menjual jenama tempatan di pasaran antarabangsa menerusi rangkaian pasar raya Lulu di UAE.

"Ini juga sebahagian daripada inisiatif global MPOC yang sedang dijalankan bagi mempromosi dan menyebarkan kesedaran mengenai kebaikan serta manfaat minyak sawit Malaysia kepada pengguna," katanya.

Menurut Wan Aishah, majlis itu turut meninjau potensi kerjasama dengan rangkaian pasar raya besar lain di rantau berkenaan untuk mengembangkan lagi pasaran bagi pengeluar minyak sawit Malaysia di peringkat global.

Beliau berkata, usaha itu adalah kelangsungan daripada inisiatif eksport MPOC dengan lebih banyak cawangan pasar raya besar dan perniagaan di rantau membuka peluang untuk minyak sawit Malaysia dan produk berasaskannya.

"Sebagai salah satu pengeluar dan pengeksport utama minyak sawit global, kita sedang berusaha memenuhi permintaan bagi minyak dan lemak selain membantu memastikan aspek jaminan dan keselamatan makanan dunia," katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif MATRADE, Mohd Mustafa Abdul Aziz berkata, UAE adalah pasaran utama Malaysia bagi Asia Barat.

"Selain menjadi rakan komersial utama Malaysia, negara itu juga menjadi pintu masuk utama ke rantau Timur Tengah dan Afrika Utara (MENA) berikutan kedudukannya yang strategik berserta asas ekonomi yang kukuh.

"Pada 2021, jumlah dagangan Malaysia dengan UAE meningkat sebanyak 7.9 peratus berbanding tahun sebelumnya, disumbangkan oleh kenaikan sebanyak 24.7 peratus dalam jumlah eksport bernilai RM10.59 bilion (AS$2.83 bilion)," katanya.

Pada tahun lalu, rantau Asia Barat mengimport sejumlah 1.85 juta tan minyak sawit Malaysia iaitu peningkatan sebanyak 9.2 peratus berbanding 2020.

Selain itu, negara-negara seperti Turki, Iran, Arab Saudi dan UAE pula menyumbang 84 peratus daripada jumlah eksport minyak sawit Malaysia ke Asia Barat.

Menurut penyelidikan pasaran, aspek pasaran minyak sawit UAE dijangka mencecah 400,000 tan menjelang 2025.

MPOC juga menyasarkan untuk memanfaatkan peningkatan permintaan ketara itu menerusi jalinan kerjasama dengan pihak berkuasa dan badan perdagangan di UAE yang menjadi platform menyediakan peluang pasaran baharu bagi jenama Malaysia menerusi pengeluaran dan kerjasama pengedaran dengan syarikat-syarikat di negara itu.

Merujuk proses pemilihan syarikat terbabit, tempoh selama empat hingga enam minggu diperlukan bagi membolehkan sesebuah syarikat itu memasuki Lulu Hypermarket.

Pengurus Serantau Lulu Group, Shihab Yousaf, berkata syarikat berkenaan juga dalam proses meninjau produk-produk yang menarik untuk dipromosi.

"(Malah, sebagai contoh), ada beberapa jenama Malaysia yang ditawarkan dalam pasar raya besar itu yang pada awalnya dibeli dalam kuantiti kecil. Namun sekarang, kami mengimport sebanyak 20 kontena setahun. Oleh itu, peluangnya amat besar," katanya.

Shihab berkata, selain mempunyai MSPO, syarikat-syarikat berkenaan juga berkemungkinan besar perlu membuat rekaan semula pembungkusan produk masing-masing, terutama bagi perusahaan kecil dan sederhana bagi membolehkannya kelihatan lebih menarik dan hebat.

Lulu Group adalah konglomerat multinasional India yang mengendalikan sebanyak 224 premis runcit di 22 negara di serata dunia.

-BERNAMA

Berita Harian X