Khamis, 17 March 2022 | 1:07pm
Oldtown White Coffee
Oldtown White Coffee

Oldtown tawar pakej francais modal kurang RM100,000

KUALA LUMPUR: Oldtown White Coffee akan mengembangkan sistem perniagaan francais dengan membangunkan pakej baharu melalui modal kurang daripada RM50,000 dan RM100,000 ke pasaran global.

Pengembangan itu selaras dengan perancangan syarikat untuk membuka 30 cawangan baharu di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Oldtown White Coffee, Dawn Liew, berkata pakej baharu itu adalah sebagai tanda sokongan kepada hasrat kerajaan untuk mewujudkan lebih banyak peluang perniagaan kepada golongan B40 dan M40.

"Pengunjung turut berpeluang untuk menyaksikan prototaip bagi Pakej Perniagaan Francais Mikro (mesin layan diri) dan mampu milik (Oldtown Express) di Oldtown Kopitiam Carnival yang dianjurkan di Sunway Pyramid bermula 15 hingga 20 Mac ini," katanya dalam satu kenyataan.

Oldtown menjangkakan pakej francais baharu yang dilancarkan kelmarin bakal memasuki pasaran pada suku keempat 2022.

Program itu turut menyaksikan sesi memeterai perjanjian francais bernilai RM2.9 juta antara Oldtown White Coffee bersama enam francaisi baharu yang akan membuka cawangan Oldtown di IOI City Mall, kawasan rehat dan rawat (R&R) Tapah, Kedah Digital Library dan lokasi lain.

Pelancaran program disempurnakan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Rosol Wahid.

Turut hadir, Pengerusi Persatuan Francais Malaysia (MFA), Datuk Dr Radzali Hassan.

Program selama enam hari itu akan turut diisi dengan pelbagai aktiviti menarik seperti pelancaran menu baharu, demo masakan, pameran produk Oldtown dan banyak lagi.

Antara menu baharu adalah Coffee Crumbles Freezy (Freezy Taburan Kopi), Chocolate Pops Freezy (Freezy Coklat Pop), Red Bean Sesame Freezy (Freezy Bijan Kacang Merah), aiskrim perisa bijan, cendol kopi putih dengan aiskrim, ayam kukus dengan bebola nasi dan ayam BBQ dengan bebola nasi.

Sementara itu, Rosol berkata, KPDNHEP sentiasa komited untuk meletakkan industri francais sebagai sektor utama yang memberi impak tinggi kepada pembangunan perniagaan perdagangan dalam negeri dengan mencipta peniaga baharu melalui pelantikan francaisi, seterusnya menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan serta memberi nilai tambah kepada pengguna.

"Selain itu, kementerian juga ingin memastikan industri francais akan menjadi salah satu sektor utama yang menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia," katanya.

Berita Harian X