Isnin, 7 March 2022 | 6:24pm
Tunku Alizakri Alias
Tunku Alizakri Alias

Bekas CEO KWSP dilantik jadi pengarah MAG, Malaysia Airlines

KUALA LUMPUR: Malaysia Aviation Group (MAG) mengumumkan pelantikan dua pengarah eksekutif baharu, Tunku Alizakri Alias dan Zaiviji Ismail Abdullah ke dalam Lembaga Pengarah syarikat itu dan Malaysia Airlines Bhd berkuat kuasa hari ini.

"Kami gembira dengan pelantikan Tunku Alizakri dan Zaiviji ke dalam Lembaga Pengarah, membawa pengalaman serta nilai kepimpinan meluas yang penting ketika kumpulan terus melaksanakan strategi sejajar dengan Pelan Perniagaan Jangka Panjang 2.0, selain merealisasikan aspirasi untuk menjadi kumpulan perkhidmatan penerbangan dan perjalanan utama Asia," kata Pengerusi Kumpulan MAG, Tan Sri Wan Zulkiflee Wan Ariffin.

Beliau berkata, beberapa bulan yang akan datang akan menjadi kritikal buat kumpulan dari segi pemulihan permintaan, menjelang pembukaan secara selamat sempadan Malaysia.

"Kami akan terus meningkatkan perkhidmatan dan keupayaan dalam perniagaan penerbangan dan bukan perniagaan bagi memberikan pengalaman terkhusus serta penyelesaian inovatif kepada semua pihak berkepentingan yang terbabit dalam perjalanan ini," katanya.

Tunku Alizakri ketika ini adalah Pengerusi Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) selain ahli Lembaga Pengarah Prudential BSN Takaful, Bumi Amanda Bhd, IHH Healthcare Bhd serta Sime Darby Plantation.

Beliau sebelum ini berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dari 2018 hingga 2021, dengan memainkan peranan penting dalam transformasi perniagaan digital KWSP bagi meningkatkan pengalaman ahli serta meningkatkan kecekapan operasi.

Tunku Alizakri memiliki Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) daripada Cornell University dan Ijazah Undang-Undang (LLB) daripada King's College London.

Sementara itu, Zaiviji Ismail adalah profesional berpengalaman dengan pengalaman operasi meluas di peringkat tempatan dan antarabangsa dalam membina strategi serta dasar untuk syarikat.

Beliau ketika ini adalah Pengerusi Cement Industries of Malaysia Bhd (CIMA) dan Uniquest Ventures Pte Ltd di India.

Sebelum ini, beliau berkhidmat selama lebih 22 tahun di Shell dan bersara pada Julai 2011, dengan jawatan terakhirnya adalah sebagai Pengerusi Shell Companies di Pakistan.

Zaiviji memiliki MBA daripada Cranfield University (Cranfield Institute of Technology), England dan ahli graduan Australian Institute of Company Directors (GAICD).

Ahli Lembaga Pengarah lain MAG termasuk CEO Kumpulan, Kapten Izham Ismail, Tan Sri Krishnan Tan, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan, David Lau Nai Pek, Cheryl Goh Ching Ling, Wong Shu Hsien serta Tan Yi Ling.

Berita Harian X