Isnin, 7 March 2022 | 3:00pm
Ketua Pegawai Teknologi Kewangan airasia Super App, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB Securities, Ruzi Rani Ajith pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) kedua-dua pihak hari ini - Foto ihsan Capital A
Ketua Pegawai Teknologi Kewangan airasia Super App, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil (kiri) dan Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB Securities, Ruzi Rani Ajith pada majlis memeterai memorandum persefahaman (MoU) kedua-dua pihak hari ini - Foto ihsan Capital A

Jual beli saham guna airasia Super App

KUALA LUMPUR: Pengguna aplikasi airasia Super App kini boleh melakukan urus niaga jual beli saham susulan memorandum persefahaman (MoU) anak syarikat Capital A Bhd itu dengan CGS-CIMB Securities Sdn Bhd bagi kerjasama strategik perdagangan ekuiti.

MoU itu membolehkan menjadikan pelaburan lebih mudah diakses serta mampu dimiliki oleh semua orang, terutama kepada golongan bukan pelabur.

Inisiatif itu juga adalah sejajar dengan Pelan Induk Pasaran Modal Ketiga oleh Suruhanjaya Sekuriti Malaysia, yang bertujuan untuk memperkasakan pelabur dalam membina masa depan yang lebih baik.

Ia ditawarkan melalui nasihat pelaburan yang berkualiti dan keupayaan yang dipertingkatkan dari segi teknologi untuk memenuhi keperluan pelabur yang semakin berkembang.

Ketua Pegawai Teknologi Kewangan airasia Super App, Mohamad Hafidz Mohd Fadzil, berkata kumpulan gembira dengan kerjasama ini kerana ia sejajar dengan misinya menawarkan perkhidmatan yang inklusif, berpatutan dan boleh diakses untuk semua.

Beliau berkata, airasia Super App percaya dapat menyediakan perkhidmatan kewangan terbaik yang sebelum ini hanya tersedia untuk golongan tertentu dan terhad.

"Ia juga dapat memenuhi matlamat kumpulan dalam menyediakan perkhidmatan untuk semua golongan," katanya dalam satu kenyataan.

Ketua Pegawai Eksekutif CGS-CIMB Securities, Ruzi Rani Ajith pula berkata kekuatan kumpulan ketika ini adalah berdasarkan pengalaman selama lebih 40 tahun di Asia.

Beliau berkata, CGS-CIMB Securities sudah berkembang daripada menjadi broker tradisional kepada penyedia penyelesaian kewangan yang dipercayai.

"Dengan tumpuan pada elemen Persekitaran, Sosial dan Tadbir Urus (ESG) , kami akan mengimbangi kedudukan pasaran dengan menyediakan kursus kewangan supaya sesiapa pun boleh melabur.

"Visi kami adalah untuk mencipta peluang pelaburan kepada semua golongan, dengan platform yang mudah digunakan dan berpatutan," katanya.

Berita Harian X