Khamis, 3 March 2022 | 5:20pm
Majlis menandatangani perjanjian antara BKSB dan WCM hari ini.
Majlis menandatangani perjanjian antara BKSB dan WCM hari ini.

Widuri Capital tubuh dana ekuiti persendirian penjagaan kesihatan

KUALA LUMPUR: Widuri Capital Management Sdn Bhd (WCM) dan Bintang Kencana Sdn Bhd (BKSB) menubuhkan dana ekuiti persendirian penjagaan kesihatan dengan sasaran saiz dana sebanyak RM100 juta.

Pengarah WCM, Datuk Alex Wee Cheng Kwan, berkata pihaknya yakin dengan keupayaan BKSB untuk membangunkan kemudahan penjagaan kesihatan baharu menerusi eksesais pengumpulan dana ini.

"Dana ini akan memudahkan rancangan BKSB untuk melaksanakan pembangunan beberapa kemudahan penjagaan kesihatan baharu lain di tanah persendirian dan awam, termasuk tanah wakaf," katanya pada majlis menandatangani perjanjian antara BKSB dan WCM hari ini.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan BKSB, Datuk Ahmad Raziff Abu Bakar, berkata eksesais pengumpulan dana itu akan membantu BKSB dalam memperjuangkan beberapa projek pembangunan hospital lain di seluruh negara.

Katanya, BKSB telah mengenal pasti lokasi lain yang berpotensi di negara ini dan bekerjasama dengan pengendali terkemuka di samping mempromosikan pusat kecemerlangan.

"BKSB juga telah membangunkan model perniagaan dinamik untuk mempercepatkan pemulihan modal dalam mempromosikan pembangunan aset penjagaan kesihatan selaras dengan aspirasi kerajaan.

"Kami juga kini dalam proses mendapatkan kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa untuk melaksanakan cadangan pembangunan baharu itu, dan WCM komited untuk menyokong BKSB dalam membangunkan aset penjagaan kesihatan yang berkualiti di negara ini," katanya.

Pelancaran dana ini adalah sebahagian daripada strategi penjagaan kesihatan ekuiti persendirian seluruh kumpulan WCM.

WCM ialah Perbadanan Pengurusan Ekuiti Persendirian yang berdaftar dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia.

Selain melengkapkan aset sedia ada WCM, ia juga akan menyediakan syarikat berasaskan penjagaan kesihatan tempatan dengan akses yang lebih besar kepada sumber dana alternatif daripada pasaran ekuiti swasta tempatan.

Berita Harian X