Rabu, 2 March 2022 | 7:12pm
Kit ujian pantas (RTK) Antigen ProDetect COVID-19
Kit ujian pantas (RTK) Antigen ProDetect COVID-19

Kit ujian COVID-19 buatan Malaysia catat ketepatan 100 peratus

GEORGE TOWN: Kit ujian pantas (RTK) Antigen ProDetect COVID-19 buatan Malaysia oleh Medical Innovation Ventures Sdn Bhd (Mediven) memperoleh skor ketepatan 100 peratus dalam Program Penilaian Kualiti Luar (EQAP) yang dikendalikan oleh European Society untuk penilaian kualiti luaran (EsFEQA).

Mediven adalah sebuah syarikat diagnostik perubatan yang berpangkalan di Pulau Pinang yang membangun, mengeluarkan dan memasarkan ujian molekul diagnostik klinikal berkualiti tinggi dan pantas.

Dalam satu kenyataan hari ini, Pengarah Operasi Mediven, Dr Lim Li Sze berkata ujian pantas COVID-19 itu berfungsi sebagai alat saringan awal yang bernilai tinggi dan sama seperti disahkan dalam EQAP, kit ujian ProDetect syarikat itu mengekalkan kualiti dan ketekalannya dalam menghasilkan ketepatan tahap tinggi.

"Pengesanan awal, pengasingan dan rawatan kepada mereka yang dijangkiti adalah penting dan bagi mencegah penularan jangkitan COVID-19 susulan daripada kes yang meningkat sekarang," katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutifnya, Ariff Ismail, berkata pencapaian Mediven dalam penilaian EQAP mencerminkan dedikasi dan misi syarikat untuk menyediakan teknologi diagnostik yang canggih.

Kit Ujian ProDetect menyediakan keputusan ujian dalam tempoh 20 minit dan mampu mengesan semua varian yang membimbangkan termasuk Delta dan Omicron.

Mediven mempunyai dua jenis kit ujian ProDetect untuk pengesanan COVID-19, pakar perubatan menggunakan salah satu daripada dua jenis sampel sama ada sampel air liur dan calitan hidung manakala kit ujian kendiri akan menggunakan sampel air liur atau calitan hidung.

Syarikat itu juga bekerjasama dengan MyDocLab baru-baru ini untuk melancarkan aplikasi penjagaan kesihatan bagi membolehkan sekolah, korporat dan individu mengurus pekerja dan status kesihatan diri mereka dengan berkesan serta membolehkan pelaporan ujian pantas antigen profesional yang mudah untuk tujuan rentas sempadan antarabangsa yang boleh dilakukan di rumah dengan selesa.

Beliau berkata, aplikasi itu juga boleh mengeluarkan laporan rasmi yang diperakui secara profesional yang diperlukan untuk Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (VTL).

-BERNAMA

Berita Harian X